MIRI: Penganjuran Konvensyen Keadilan Sarawak di Hotel Pullman hari ini, bukan tidak menghormati autonomi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak.

Sebaliknya, Pengarah Konvensyen PKR 2019 Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak seharusnya menghormati parti sebagai sebuah organisasi.

“Memang saya setuju autonomi harus dihormati tetapi kita dalam satu organisasi, jadi kena hormat organisasi,” katanya pada Konvensyen Keadilan Sarawak di sini, hari ini.

Konvensyen Keadilan Sarawak akan dirasmikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian bersama pemimpin-pemimpin MPN Sarawak tidak hadir sebagai bantahan terhadap penganjuran konvensyen ini, yang disifatkan tidak sah.

MPN Sarawak membuat keputusan membatalkan konvensyen sebagai tanda protes terhadap keputusan parti yang membatalkan jemputan Timbalan Presiden, Azmin Ali untuk merasmikan Konvensyen AMK di Melaka.