MIRI: Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui wujud gerakan dalam parti itu yang cuba mensabotaj peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tidak melihat masalah ini antara Tun Mahathir Mohamad dan Anwar tetapi yang sedih ada di kalangan ahli parti cuba mensabotaj peralihan kuasa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 1,000 perwakilan yang hadir pada Konvensyen Keadilan Sarawak di Hotel Pullman di sini, hari ini.

Pengarah Konvensyen PKR 2019 itu menambah kenyataannya itu bukan kerananya fanatik kepada Anwar tetapi peralihan kuasa Perdana Menteri itu adalah janji Pakatan Harapan (PH) jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Konvensyen Keadilan Sarawak akan dirasmikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian bersama pemimpin-pemimpin MPN Sarawak tidak hadir sebagai bantahan terhadap penganjuran konvensyen ini, yang disifatkan tidak sah.