Tuesday, January 25, 2022

Ambil iktibar keputusan PRK Tanjung Piai kepada PH di Sarawak

Secara Rawak

Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai menyaksikan Barisan Nasional (BN) yang bekerjasama dengan PAS dalam muafakat nasional telah merampas semula kerusi Parlimen yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu. Kemenangan bergaya calon BN daripada MCA Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi mengatasi calon PH, Karmaine Sardini, yang mendapat 10,380 undi.

Kegagalan PH mempertahankan kerusi yang Tanjung Piai yang dimenangi semasa PRU 14 lepas melalui parti komponen PH iaitu Bersatu memberikan tamparan hebat kepada gabungan parti pemerintah itu. Ketidakpuasan rakyat terhadap pentadbiran PH diterjemahkan oleh rakyat di Tanjung Piai melalui peti undi. Salah satu faktor penyumbang kepada protes besar-besaran rakyat Tanjung Piai ini adalah kegagalan PH dalam menunaikan janji dalam manifesto PRU 14 lepas. Perkara ini diakui oleh para pemimpin PH sendiri.

Persoalannya, apakah iktibar yang boleh diambil oleh PH terutama PH di Sarawak yang bakal menempuh PRN ke – 12 Sarawak nanti? Sejauh manakah PH Sarawak dapat menunaikan janji-janji khas untuk Sarawak dalam manifesto PRU 14 mereka sebelum PRN ke – 12 nanti? Persoalan ini harus diteliti dengan sebaik-baiknya.

Keputusan PRK Tanjung Piai harus di ambil sebagai iktibar oleh PH Sarawak sekiranya ingin menawan negeri Sarawak semasa PRN ke – 12 nanti. Janji-janji dalam manifesto PRU 14 lepas khas untuk Sarawak harus ditunaikan. Ini merupakan satu isu yang menjadi duri dalam daging bagi PH sekiranya janji-janji tidak ditunaikan dengan seberapa segera. Rakyat tidak akan faham dengan alasan beban kewangan yang dihadapi oleh PH. Apa yang rakyat tahu, janji harus ditunaikan.

Malahan, polemik dalaman yang melanda beberapa parti komponen PH terutama PKR sudah pasti memberi tekanan kepada parti PKR di Sarawak untuk menyediakan diri dalam menempuh PRN ke – 12 nanti. Polemik yang melanda kepimpinan PKR ini sudah pasti akan memberi kesan kepada jentera parti dalam kesiapsiagan menempuh PRN ke – 12 nanti. Para penyokong PKR di akar umbi kecewa dengan apa yang berlaku dalam kem PKR Sarawak khasnya dan PKR pusat amnya.

Terbaru, pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berkata keputusan untuk tidak meneruskan konvensyen parti itu yang dibuat mendapat sokongan majoriti daripada pemimpin parti negeri, sambil menambah mereka bersedia untuk dikenakan tindakan disiplin. Ini bermakna, konvensyen PKR Sarawak yang dijadualkan diadakan pada Sabtu ini sah dibatalkan. Pembatalan konvensyen PKR Sarawak ini jelas menunjukkan sesuatu tidak betul berlaku dalam PKR.

Rentetan apa yang berlaku kepada PH termasuk perjumpaan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin dengan lebih 20 orang ahli parlimen pembangkang daripada BN jelas menunjukkan sesuatu berlaku dalam PH selepas kekalahan yang memalukan di PRK Tanjung Piai. Ini sudah pasti menjejaskan persediaan PH terutama PKR dalam menempuh PRN ke – 12 Sarawak nanti.

Apa-pun, masalah yang melanda PH kini sudah pasti memberi kelebihan kepada GPS yang merupakan parti pemerintah di Sarawak sekiranya PRN 12 diadakan dalam masa terdekat. Masalah yang melanda PH ini perlu diselesaikan sekiranya ingin bersaing dengan GPS yang nyata lebih bersedia dalam menempuh PRN ke – 12 nanti.

Polemik yang melanda PH terutama PKR sudah pasti akan menghantui persediaan PH Sarawak dalam menempuh PRN ke – 12 nanti. Janji dalam manifesto PRU 14 perlu ditunaikan terutama janji khas untuk Sarawak. Mana-mana parti politik yang sudah berjanji sama ada pihak kerajaan atau pembangkang perlu menunaikan janji-janji sebelum sesebuah pilihan raya diadakan. Ini bagi mengelakkan rakyat ditipu dengan umpan pembangunan yang dijanjikan.

Apa yang penting rasa kebertanggungjawaban serta integriti harus ada dalam kalangan pemimpin yang membuat janji-janji dalam manifesto. Sokongan rakyat bukan untuk kesinambungan politik parti atau individu tetapi hak dan suara majoriti rakyat harus dijaga dan dibela oleh pemimpin yang dipilih oleh rakyat.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru