KUALA LUMPUR: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa dan Majlis Bandar Raya Pulau Pinang (MBPP) menjelaskan apakah ‘kerja mitigasi’  dan kenapa cerun yang curam itu dipotong dan dibersihkan?

Presidennya Meenakshi Raman berkata, pihak berkuasa dan MBPP mestilah menjelaskan dengan segera kerja-kerja yang sedang berjalan itu dan juga mengambil langkah segera untuk mencegah sebarang kesan sosial dan alam sekitar disebabkan oleh aktiviti pemotongan bukit dan kerja tanah.

SAM dimaklumkan berhubung kerja memotong bukit oleh penduduk Pulau Pinang yang amat prihatin dengan keadaan itu, yang turut berkongsi gambar kerja tanah yang sedang berjalan.

“Kami difahamkan bahawa sebahagian kerja pemotongan bukit yang begitu ketara itu melibatkan cerun melebihi 250 kaki (75 meter) dan berada pada kecerunan yang amat curam iaitu melebihi 25 darjah,”  katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, SAM juga mendapati pada September 2018, Penang Hills Watch (PHW), yang merupakan sebuah inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO), telah memaklumkan kepada pihak berkuasa dan MBPP mengenai aktiviti pemotongan bukit.

“Kami difahamkan bahawa PHW dimaklumkan bahawa ‘kerja mitigasi’ dijalankan di tapak itu, di mana tanahnya dimiliki oleh kerajaan negeri,” katanya.

Jelas beliau, dasar kerajaan negeri di bawah Pelan Struktur Pulau Pinang adalah untuk melindungi tanah bukit dan tidak membenarkan kerja-kerja tanah di atas tanah melebihi 250 kaki atau cerun yang melebihi kecerunan 25 darjah, dan memandangkan ini adalah tanah awam, kami amat bimbang dengan kerja pemotongan dan pembersihan bukit yang sedang berjalan.

“Kami juga amat bimbang dengan banyak bahagian cerun itu yang kini sudah terdedah, dengan musim hujan sekarang, hakisan tanah yang serius akan berlaku, ini akan menyumbang kepada tanah runtuh dan banjir kilat di kawasan itu,” ujarnya..

“Kami juga amat bimbang akan berulangnya tragedi tanah runtuh sepertimana yang berlaku di tapak Granito dan Bukit Kukus di Paya Terubong yang membawa kepada kematian pekerja yang bekerja di kawasan itu’ katanya lagi.