KUALA LUMPUR: Ahli parti tidak sepatutnya terlibat dalam permasalahan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH), kata Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional Datuk Seri Najib Razak berkaitan kehadiran beberapa Ahli Parlimen UMNO di rumah Timbalan Presiden PKR  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malam semalam yang mencetuskan kontroversi.

Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, sebagai parti pembangkang, tanggungjawab pemimpin adalah menumpukan perhatian kepada soal rakyat.

“Kita mesti dilihat sebagai parti yang terus-menerus memberi naratif dari segi apa-apa yang patut diberikan untuk kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya di lobi Parlimen semalam.

Azmin berkata tidak ada yang luar biasa tentang pertemuan beliau dengan wakil rakyat terbabit, namun Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mahu Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu memberi penjelasan dalam mesyuarat Biro Politik malam ini.

Tidak dapat dipastikan sama ada Azmin yang memang bermasalah dengan Anwar akan menghadiri mesyuarat itu kerana beliau dipetik berkata perlu meneliti jadual beliau terlebih dahulu.

“Jadi, perjumpaan tersebut perlulah disiasat oleh jawatankuasa disiplin sepertimana yang diumumkan oleh Presiden parti,” kata Najib.

Jelasnya, UMNO  perlu menjaga kesatuan parti, disiplin parti dan apa-apa tindakan yang dilakukan mestilah bersifat kepartian. 

“Inilah soal berparti, kita mesti ada semangat berparti,” ujar beliau.

Namun, jelas Najib, beliau tidak mahu mendahului jawatankuasa disiplin.

“Tapi walau pelbagai alasan diberi, kalau ada pertemuan sekurang-kurangnya patut dibuat di pejabat dan bukan di rumah,” katanya.

Media melaporkan sekurang-kurangnya 22 wakil rakyat BN berkumpul di kediaman rasmi Azmin pada sekitar jam 9.30 malam semalam.

Banyak pihak berpendapat seelok-eloknya mesyuarat sedemikian perlu dibuat di Parlimen atau di pejabat, dan bukannya diadakan di rumah sehingga menimbulkan banyak tafsiran dan kesangsian, serta perlu terlebih dahulu mendapat restu daripada Majlis Presiedn PH.

“Sekiranya dibuat di rumah tengah malam, ia membawa pelbagai interpretasi tapi kalau hendak bincang projek ke sebagainya, sepatutnya di pejabat dan dimaklumkan kepada WIP parti atau ketua pembangkang,” jelas beliau.