SIBU: Seorang lelaki nyaris maut apabila pacuan empat roda Mitshubisi Triton yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di dalam parit di Lorong Oya Sibu, tengah malam tadi.

Mangsa berusia 37 tahun yang memandu kenderaan itu seorang diri bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memberitahu, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 12.24 tengah malam.

“Setibanya di lokasi kami mendapati kenderaan terbabit terbalik di dalam parit manakala mangsa masih berada di dalamnya,” katanya.

Menurut jurucakap itu, Bomba terpaksa bertindak memecahkan cermin belakang kenderaan berkenaan menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta yang terkunci sebelum berjaya mengeluarkan mangsa.

Katanya, mangsa bernasib baik baik apabila hanya mengalami kecederaan ringan dan dirujuk kepada pihak paramedik untuk rawatan susulan.

“Operasi disertai enam anggota Balai Bomba Sibu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Donny Sumping. Kita juga dibantu empat anggota PDRM dan tiga paramedik.

“Dalam pada itu, kita melakukan pemeriksaan susulan bagi memastikan keadaan terkawal dan selamat sebelum bertolak balik ke balai,” jelasnya.