KUCHING: Bandar raya ini dijangka terus menjadi tarikan dari segi pelancongan kesihatan apabila dua lagi hospital antarabangtsa didirikan bagi menampung keperluan pesakit.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, hospital berkenaan masing-masingnya akan dibina di Tabuan dan  di pusat bandar raya ini.

Masih dalam perbincangan, kedua-dua hospital berkenaan, jelasnya, bakal merancakkan lagi pelancongan kesihatan di negeri ini.

“Kedua-dua hospital itu bakal dibangunkan oleh syarikat antarabangsa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pejabat Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di Bangunan Yayasan Sarawak di sini.

“Sebuah hospital khusus untuk pusat kanser, manakala sebuah lagi fokus kepada penyakit baharu,” jelasnya.

Baru-baru ini Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak menerima 34,100 pengunjung menerusi industri pelancongan kesihatan yang menyumbang RM7.6 juta bagi pendapatan negeri setakat Oktober tahun ini.

Untuk rekod, kebanyakan pelancong kesihatan adalah dari Indonesia, China, Filipina dan India.