KUCHING: Satu Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (Pemandu) bersetuju agar satu Majlis Khas ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan keputusan yang telah dibuat dalam Jawatankuasa Khas.

Menurut Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dalam satu kenyataan pada Selasa, Majlis Khas yang ditubuhkan ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kedua-dua Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya Jawatankuasa itu bersetuju untuk meneruskan perbincangan mengenai isu Petronas dan gas secara perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) antara Petronas, Petros dengan Kerajaan Sarawak.

 Mesyuarat Pemandu  diadakan di Putrajaya pada Isnin dan dipengerusikan Tun Mahathir.

Mesyuarat itu turut dihadiri Abang Johari dan Shafie.

 Sharifah Hasidah berkata antara perkara yang masih dibincangkan ialah Semakan Semula Pemberian Khas, royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum.

Isu lain ialah tanah negeri yang diberi hak milik kepada Persekutuan, kuasa baki perundangan, pertambahan jawatan dan beberapa perkara lain, katanya.

“Bagi isu semakan semula pemberian khas, pihak Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi membincangkan secara terperinci mengenai rangka proses dan prosedur bagi semakan semula pemberian khas ini dan juga mengenai formula yang akan digunakan,” katanya dalam kenyataan berkenaan.