KUALA LUMPUR:  Di sebalik kejayaan Harimau Malaya menumbangkan Garuda 2-0 malam tadi,  41 penyokong yang menghadiri perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023  ditahan polis selepas disyaki terlibat insiden kekecohan.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, pihaknya menahan 27 penyokong Malaysia dan 14 penyokong Indonesia selepas tamat perlawanan.

Malaysia berjaya menjaringkan gol  pada minit ke-30 dan ke-72. Kedua-duya gol diledakkan oleh Safawi Rasid.

“Kesemua mereka ditahan untuk tujuan dokumentasi dan telah dibebaskan selepas selesai proses tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu dicemari insiden kekecohan sejurus tamat perlawanan selepas berlaku provokasi antara kedua-dua penyokong Malaysia dan Indonesia.

Difahamkan, kekecohan berlaku di hadapan Pintu Masuk E, memaksa Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal keadaan di kawasan tersebut.

Kemenangan tersebut membolehkan Malaysia menambah tiga lagi mata menjadikan sembilan kutipan selepas  lima perlawanan.

Keputusan ini juga mencerahkan peluang ke Pusingan Akhir Piala Asia 2023 di China.

Selepas menentang Indonesia, Malaysia dijadual berdepan UAE di Dubai pada 26 Mac 2020 dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac 2020, sebelum menamatkan aksi pusingan kelayakan menentang Thailand pada 9 Jun 2020 di tempat lawan.