KUALA LUMPUR: Serangkap pantun benar-benar terkena batang hidung pemimpin PH.

Pantun berkenaan diungkapkan Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias di Parlimen semalam sehingga mencetuskan sedikit kekecohan.

Satu pelita dua sumbu,

Mana api boleh tahan;

Kerajaan PH asyik menipu,

Mana rakyat boleh tahan

Pantun itu diungkapkan ketika Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan mencelah ucapan beliau.

“Saya nak tanya pandangan Pontian, dulu kalau tidak silap sayalah pernah dengar janji kerajaan ini. Kamera AES ini dahulunya kita buat 10 sahaja… tetapi apabila nak ambil kerajaan mereka kata akan kurangkan namun sekarang bertambah. Adakah ini kerajaan menipu. Saya nak bagi pantunlah,” katanya.

Terdahulu sebelum itu, Ahmad membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa Kementerian Pengangkutan Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, di sini, hari ni.

Dalam perbahasannya Ahmad meminta kerajaan memberikan butiran dan bukti faedah penambahan kepada pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas).

“Penyelenggaraan sistem AWAS… berapa yang sudah kena saman dan saya nak tahu juga apakah bukti bahawa lagi banyak kamera AWAS ini lagi kurang kejadian  kemalangan. Boleh YB Menteri tunjukkan bukti kalau tidak apa faedah untuk kita tambah kamera sedangkan dahulunya ada seorang YB di sini sekarang dah timbalan menteri menentang tentang AES ini,” katanya.