KUCHING: Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka mengadakan perbincangan mengenai isu bayaran royalti dan pembayaran tunai bagi petroleum dan gas pada Disember nanti.

Menurut Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, perbincangan itu merupakan antara perkara yang dipersetujui dalam mesyuarat terakhir Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Putrajaya semalam.

“Manakala perbincangan Business-to-Business (B2B) antara Petronas, Petros dan kerajaan Sarawak akan diteruskan bagi menangani isu petroleum dan gas,” katanya.

“Mengenai isu Petroleum dan gas, Jawatankuasa Khas ini telah bersetuju bahawa perbincangan Business-to-Business (B2B) antara PETRONAS, PETROS dan Kerajaan Negeri akan diteruskan.

“Manakala isu mengenai bayaran royalti dan pembayaran tunai bagi petroleum dan gas akan dibincangkan secara berasingan antara Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya terdapat perkara-perkara yang masih dibincangkan, antaranya Semakan Semula Pemberian Khas, royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, tanah negeri yang diberi hak milik kepada persekutuan, kuasa baki perundangan, pertambahan jawatan dan beberapa perkara lain.

Bagi isu semakan semula pemberian khas, Hasidah berkata Kementerian Kewangan telah bersetuju membincangkan secara terperinci mengenai rangka proses dan prosedur bagi semakan semula dan juga mengenai formula yang akan digunakan.

“Semakan Pemberian Khas ini akan turut membincangkan dengan lebih lanjut perkara-perkara lain termasuklah gantian sumber kewangan yang diserahhakkan kepada kerajaan negeri iaitu duti import dan eksais bagi produk petroleum di mana sumber kewangan ini telah diberhentikan kerana Keralaan Pusat menandatangani AFTA pada tahun 2001,” katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Kabinet turut bersetuju agar satu Majlis Khas ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dibuat di
dalam Jawatankuasa Khas berkenaan.

Katanya dengan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, kedua-dua Ketua Menteri Sabah dan Sarawak turut dilantik menjadi ahli Majlis Khas ini.

Sehingga hari ini, sebanyak 21 isu telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet untuk diteliti dan dikaji secara bersama.

Sehingga 23 Julai 2019, tujuh isu telah mendapat persetujuan bersama seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 19 Ogos lepas.

Antara perkara-perkara yang telah dipersetujui adalah mengenai kuasa kawal selia pengedaran gas dan elektrik, penubuhan Jawatankuasa Kerja Pemantapan Kolaborasi Pelaksanaan Projek Persekutuan bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan projek Persekutuan di negeri.

Selain itu penurunan kuasa kepada kerajaan Sarawak dan Sabah bagi membuat perundangan subsidiari mengenai “labour conditions peculiar to the state” di bawah Ordinan Buruh negeri masing-masing dan penubuhan Jawatankuasa Khas Libat Urus secara berkala untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan isu
pengurusan kesihatan Sarawak dan Sabah.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 semalam yang dipengerusikan Perdana Menteri adalah yang kelima dan terakhir dan dihadiri 23 ahli jawatankuasa yang terdiri
daripada Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah.