KUCHING:  PKR  Johor menyeru agar gabungan PH bekerja lebih keras dan merenung diri susulan kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai selepas calon BN menang dengan majoriti besar Sabtu lalu.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keputusan PRK ini wajar dianalisis dan diperhalusi dengan lebih mendalam supaya kelemahan mahupun kekuatan dapat dikenal pasti. Satu muhasabah perlu dilaksanakan segera.

Tambahnya,  kekalahan itu adalah satu iktibar untuk tidak mengambil mudah mandat yang diberikan rakyat.

“Pakatan Harapan tetap utuh sebagai kerajaan Johor dan kerajaan Pusat. Oleh yang demikian agenda reformasi wajib diteruskan dan gerakerja membina semula negara Malaysia tercinta perlu diperhebatkan,” kata anggota Parlimen Ledang itu dalam satu kenyataan.

PRK Tanjung Piai yang berlangsung Sabtu lalu menyaksikan calon Harapan, Karmaine Sardini tewas kepada calon BN dalam pertandingan enam penjuru.

Dalam PRK itu  Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng  menang dengan majoriti 15,086 undi daripada 38,815 jumlah pengundi yang turun mengundi.

Beliau mendapat 25,466 undi manakala calon PH Karmaine Sardini hanya 10,380 undi.

Calon lain yang bertanding iaitu Wendy Subramaniam daripada Gerakan mendapat 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) mendapat 850 undi, dan dua calon Bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing meraih 380 dan 32 undi.