KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memilih Bandaraya Miri sebagai model bandar pintar atau ‘smart city’ pertama di negeri ini sebelum membangunkan Bandaraya Kuching juga sebagai bandaraya pintar yang sama.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri telah memulakan perlaksanaan bandar pintar di Miri bagi mengetahui nilai pelaburan yang diperlukan untuk perlaksanaan tersebut.

“Kita kaji dulu berapa banyak kos yang perlu untuk menjadikan Miri sebagai model bandar pintar. Kemudian baru kita tahu kos sebenar yang melibatkan Bandaraya Kuching,” katanya sambil menambah sembilan bulan adalah tempoh masa yang diberikan untuk perlaksanaan bandar pintar di Miri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pejabat Sarawak Multimedia Authority (SMA) di Kuching hari ini.

Jelasnya, Miri sebagai pilihan kerana bandar tersebut mempunyai jaringan yang pintar dan maklumat pintar untuk membangunkan bandar berkenaan.

Tambah beliau lagi, Kuching sebenarnya adalah pelan induk kerajaan negeri untuk projek bandar pintar dimana kerajaan telah menjadikan Darul Hana sebagai sebahagian daripada projek tersebut dari segi infrastruktur serta teknologi.