KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata  segala gerak langkah akan diatur bagi memperbaik kelemahan MCA jika ada, bagi memastikan parti itu dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di sebalik kemenangan calonnya di Parlimen Tanjung Piai Sabtu lalu.

Calonnya Datuk Dr Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar yang mengejutkan semua pihak termasuk Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bagi pihak MCA, saya sekali lagi merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu kemenangan BN baik semua parti komponen, rakan pembangkang lain dan ini menunjukkan satu keserasian dan juga semangat kerjasama yang amat tinggi. Harap sebagai pembangkang kita akan dapat bekerjasama atas perjuangan untuk rakyat,” katanya pada sidang media di lobiu Parlimen semalam.

“Terharu melihat semangat kerjasama kali ini dan inilah yang diterjemahkan dalam undi dan saya rasa kita terhutang budi kepada semua pihak,” katanya lagi.

Tambah Wee, ‘post-moterm’ yang akan dilaksanakan kelak akan mengambil kira pelbagai aspek dan beliau sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memberikan mandat yang cukup besar.

“Akan buat ‘post moterm’ di manakah perlu diperbaiki,dan kita akan buat analisa apakah sebab yang menyumbang kepada kemenangan ini,” jelasnya.

“Dan apakah kekurangan yang ada PH dan pada masa yang sama kita akan lihat apakah peranan yang boleh dimainkan oleh kita selaku pembangkang,” ujarnya.

Dalam PRK itu Jeck Seng  menang dengan majoriti 15,086 undi daripada 38,815 jumlah pengundi yang turun mengundi.

Beliau mendapat 25,466 undi manakala calon PH Karmaine Sardini hanya 10,380 undi.

Calon lain yang bertanding iaitu Wendy Subramaniam daripada Gerakan mendapat 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) mendapat 850 undi, dan dua calon Bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing meraih 380 dan 32 undi.

Peratusan  yang turun mengundi ialah 74.4 peratus.