KUCHING:  Tidak cukup dengan mengerat, mayat isteri turut dihumban ke dalam sungai yang penuh buaya dengan tujuan  menghapuskan bukti.

Kepala mangsa dibuang di tempat berasingan sebelum ditemui terdampar di tebing Batang Lupar, Jalan Skait Lama pada 3 Mac 2018.

Gara-gara tindakan kejam itu lelaki terbabit didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh isterinya, seorang warga China berusia 31 tahun.

Ahli farmasi  tersebut didakwa melakukan kesalahan berkenaan antara 25 Februari 2018 sekitar jam 9.30 pagi hingga 3 Mac 2018 jam 4.30 petang.

Kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini semalam di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Azahari Kamal Ramli.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman mati mandatori.

Setakat perbicaraan semalam, mahkamah telah mendengar kenyataan bukti daripada 28 orang, termasuk rakan rapat mangsa dan seorang pekerja kedai peralatan. Sebanyak 64 bahan bukti dikemukakan.