MIRI: Konvensyen PKR Sarawak kali ini mencetuskan banyak masalah dan kekeliruan dalam kalangan ahli dan pemimpin akar umbi.

Jelas terdapat dua puak dalam PKR Sarawak  dengan ada yang menyokong kepemimpinan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebahagian lagi menyokong Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Puak yang menyokong Azmin mendesak agar konvensyen itu ditunda.

Namun, selepas kata-kata tegas daripada Anwar di Terengganu Jumaat lalu,  Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak yang dijadualkan pada Sabtu ini di Miri akan diteruskan walaupun ada kalangan pemimpin PKR Sarawak yang memberi kata dua untuk membatalkannya jika isu Azmin Ali tidak diselesaikan.

Dijangka 1,000 perwakilan dari seluruh Sarawak akan menghadiri konvensyen itu, seminggu selepas Konvensyen GPS diadakan di Kuching.

Konvensyen  sempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan parti itu dijangka akan memberi tumpuan terhadap usaha untuk memantapkan barisan dan persediaan PKR di sebalik krisis yang dihadapinya ketika ini, serta PRN Sarawak yang dijangka diadakan pada 2021.

Anwar dipetik berkata, cadangan pembatalan itu hanya daripada individu tertentu sedangkan kebanyakan ketua cabang di Sarawak mahu ia diteruskan.

Menurutnya, pucuk pimpinan parti akan memberi penjelasan dan sebarang keputusan tertakluk kepada jawatankuasa konvensyen.

“Tiada siapa yang patut sombong untuk menentukannya (batal konvensyen). Ini adalah keputusan jawatankuasa konvensyen dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang terbuka, bukan keputusan setiausaha agung,’ katanya.

“Keputusan itu keputusan pimpinan parti dalam mesyuarat bulanan. (Sama juga) Kalau awak media tak pernah datang mesyuarat. Jadi, editor tak panggil,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen PKR Kelantan dan Terengganu yang berlangsung di Terengganu Equestrian Resort pada Jumaat.

Ketua-ketua cabang PKR Sarawak tidak bersetuju dengan tindakan untuk menangguhkan konvensyen parti peringkat negeri  ini sebagai protes kepada pembatalan jemputan Azmin.

Menurut kenyataan bersama  tiga hari lalu, Ketua Cabang Selangau, Joshua Jabeng; Ketua Cabang Batang Sadong, Piee Ling; Ketua Cabang Miri, Michael Teo; Ketua Cabang Julau, Larry Sng dan 16 ketua Cabang Sarawak lain, mereka mendukung semangat reformasi dan ingin meneruskan konvensyen itu sebagaimana dijadualkan.

“Adalah angkuh bagi sesetengah pemimpin yang ingin menangguhkannya sebagai protes kepada pembatalan jemputan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK),” kata kenyataan itu.

“Perjuangan parti hanya dapat diteruskan dengan berdiri teguh di belakang Presiden kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ramai ahli sudah pun melakukan persiapan bagi menantikan mesej dari pemimpin-pemimpin dari Pusat dan adalah zalim sekiranya hasrat akar umbi ditolak semata-mata kerana ada pemimpin yang tersinggung dan ingin mempolitikkannya,” katanya menerusi satu kenyataan bersama.

Manakala bagi Pengarah Konvensyen-konvensyen Negeri PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pula, seharusnya jika pihak Majlis Pimpinan Negeri  (MPN) percaya dengan semangat demokratik dalam parti, mereka tidak sewenang-wenangnya membatalkan konvensyen berkenaan.

Ketika ini PKR mempunyai tiga Adun daripada 10 Adun PH.

Konvensyen PKR di Miri dijangka panas dengan dua puak saling berusaha untuk mempertahankan diri masing-masing.