MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan hadir dan merasmikan sambutan Hari Belia Peringkat Negeri pada 7 Disember nanti di Stadium Tertutup Miri.

Perkara ini telah disahkan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Kementerian Belia dan Sukan Sarawak Nancy Jolhi ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2019 di Pejabat Residen Bahagian Miri pada Isnin.

“Sambutan Hari Belia 2019 akan disempurnakan Ketua Menteri pada 7 Disember 2019, jam 10.30 pagi di Stadium Tertutup Miri.

“Ianya dijangka akan dihadiri kira-kira 5,000 belia yang berumur 15 hingga 40 tahun dari seluruh Sarawak dan terdiri daripada pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi Awan (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), pertubuhan-pertubuhan belia, pekerja sektor awam dan swasta, dan orang awam,” katanya.

Pada sambutan itu juga, Ketua Menteri akan menyampaikan anugerah belia mengikut kategori sebagai pengiktirafan kepada pencapaian mereka dalam bidang yang diceburi dan diadakan beberapa program lain bagi memeriahkan sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2019.

“Antara program yang dirancang akan diadakan pada sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2019 ialah Anugerah Belia Negeri, Belia Kitchen dan Gerai Jualan, Karnival Autoshow & Big Bikers, Belia Sihat & Cergas dan Belia Showcase dan Belia Got Talents.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya belia dan masyarakat di bandaraya Miri adalah dijemput hadir di Stadium Tertutup Miri bagi sama-sama meraikan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2019 bersama Ketua Menteri Sarawak.