KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu menghadiri Mesyuarat Biro Politik PKR yang berlangsung Rabu malam.

Memetik Sinar Harian, Anwar Ahli Parlimen Port Dickson ditemui di lobi Parlimen pada Selasa berkata, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak diminta memberi penjelasan berhubung perjumpaannya bersama sekitar 20 ahli Parlimen di kediaman rasminya pada Isnin malam.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bertemu Azmin di kediaman rasminya.

Antara yang dilaporkan media terlibat dalam pertemuan tersebut ialah Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaffar, Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis), Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (BN-Maran), Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor, Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau), Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) dan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik).