KUCHING: Ketua Menteri memuji sifat anak-anak Sarawak yang tahan diuji dan berpotensi dalam pelbagai bidang termasuk dalam kalangan anak muda.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menggunakan peribahasa Melayu untuk menggambarkan  daya ketahanan dan keupayaan mereka ketika berdepan cabaran dan menghadapi masa depan gemilang.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan Konvensyen GPS 2019 di BCCK di sini Sabtu lalu, pengerusi GPS itu berkata bahawa anak Sarawak jika letak di laut menjadi pulau, letak di darat menjadi gunung.

“Orang Sarawak engkah ke laut jadi pulau. Engkah di darat jadi gunung,” katanya.

“Kita boleh survive kerana Tuhan sayang dengan kita. Dan hasil bumi kita ada. Ya akan memberi pulangan kepada kita,” jelasnya.

Beliau mengungkapkan peribahasa itu dalam konteks bagaimana selepas PRN-14 pada 9 Mei tahun lalu, BN tewas dan ada yang meramalkan Sarawak akan kecundangan kerana tidak lagi berada di bawah Kerajaan BN. 

PH memenangi pilihan raya itu sekali gus menyaksikan BN berada di pihak pembangkang. 

Susulan itu, BN Sarawak keluar dari pakatan berkenaan dan menubuhkan GPS pada 12 Jun. Ia mengambil pendirian tidak menyertai Kerajaan PH.

Sekali lagi dalam ucapan di hadapan 5,000 perwakilan dari seluruh negeri, Abang Johari yang jelas bersemangat, menggunakan ungkapan metaforik ketika merujuk kepada usaha Kerajaan Sarawak menghantar pelajar cemerlang ke universiti ternama di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Jadi kita tok di air boleh, di laut pun boleh di darat pun boleh. Ini anak Sarawak,” katanya.

Beliau menyatakan Yayasan Sarawak akan menghantar dua orang pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian di London School of Economics (LSE) dan Cambridge University masing-masingnya setiap tahun.

“Kita mesti ada masa depan sasaran kita 2030. Tidak harus ada gangguan. Sarawak harus di bawah Kerajaan Sarawak yang dipilih oleh rakyat Sarawak. Ini hasratnya,” katanya.