MUKAH: Loji sisa sagu pertama seumpamanya di negara ini dan dalam kalangan negara pengeluar kanji sagu akan dilancarkan pada Sabtu ini.

Terletak di Kampung Teh di sini, Loji Rintis Rawatan Sisa Cecair sagu itu dijadualkan  akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Loji berkenaan yang mula beroperasi pada Mei tahun lalu dibangunkan oleh Craun Research Sdn Bhd dengan kerjasama Nitsei Sago Industries.

Ia merupakan projek pembangunan untuk mencari penyelesaian secara bersepadu masalah pencemaran alam sekitar daripada aktiviti pemprosesan kanji sagu.

Projek berkenaan dibiayai Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, dan diharap dapat dijadikan model yang dapat diadaptasi oleh semua kilang pemprosesan kanji sagu yang lain bagi memastikan kelestarian industri sagu terutamanya di Sarawak.

Projek berkenaan mampu menghasilkan produk nilai tambah daripada sisa buangan sagu dan seterusnya meningkatkan nilai rantaian sagu.

Pada majlis pelancaran itu, Ketua Menteri dijangka tiba jam 10 pagi dan seterusnya menyampaikan ucapan perasmian.

Mukah dan kawasan sekitarnya terkenal sebagai kawasan pengeluar utama lemantak daripada rumbia sejak pertengahan abad ke-19.