Pada pilihan raya kecil Tanjung Piai Sabtu lalu, calon BN Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi. 

Dia mendapat 25,466 undi berbanding calon PH, Karmaine Sardini yang hanya memperoleh 10,380 undi.

Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa beliau terkejut dengan kemenangan besar BN itu, kerana menyangka PH hanya kalah sekitar 2,000 undi.

Pengkritik Tun Mahathir  menyifatkan kekalahan itu sebagai referendum rakyat terhadap kepemimpinannya.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar  Ibrahim berkata majoriti besar BN itu adalah satu kejutan.

“Majoriti yang diperoleh oleh pembangkang adalah satu kejutan dan juga mesej kepada seluruh kepimpinan Pakatan Harapan. Kita mesti belajar daripada keputusan pilihan raya itu,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Di sebalik keputusan teruk itu, banyak pihak, termasuk pemimpin PH menuding jari ke arah Perdana Menteri, malah ada yang mendesak beliau berundur dan memberi laluan kepada Anwar untuk menerajui negara.

Pasti gesaan itu tidak diterima baik oleh penyokong Tun Mahathir termasuk timbalan presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikatakan mengidam untuk menduduki kerusi berkenaan.

Bekas timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali  turut menyarankan agar Mahathir meletak jawatan selepas kekalahan pilihan raya berkenaan.

Bagai memburukkan lagi keadaan, tersebar mesej bahawa Tun Mahathir akan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Tun M telah terbang ke luar negara sejam yang lalu .. berita sedang disahkan sekarang .. Esok, satu referendum akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Harapan tanpa Tun M,” kata mesej yang menjadi tular di media sosial semalam.

Namun, seorang pegawai dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam mengesahkan bahawa mesej yang diedarkan di media sosial adalah tidak benar.

Pegawai itu yang dipetik Malaysiakini semalam menyangkal mesej yang kononnya menyatakan bahawa media telah diarahkan untuk tidak memberikan sebarang akses kepada Mahathir kerana dia merancang untuk mengumumkan peletakan jawatannya.

“Belum disahkan tetapi agensi berita diarahkan agar tidak memberi akses kepada Tun M untuk sebarang bentuk wawancara secara langsung untuk menghalangnya daripada berkata perkara yang tidak menyenangkan, termasuk meletak jawatan dengan segera tanpa mengumumkan penggantinya.

Sebaliknya,  pegawai itu berkata Mahathir menghadiri mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 di Jabatan Perdana Menteri pagi ini.

“Dia bukan berada di luar negara,” kata pegawai itu sambil menambah perdana menteri sedang bekerja seperti biasa.

Drama politik Malaysia dijangka semakin hangat dan menarik selepas ini, apatah lagi apabila lebih 20 orang wakil rakyat BN dikatakan berkampung di rumah Azmin, sebuah banglo di Tepi Tasik Putrajaya di Presint 10  malam tadi.

Terdapat spekulasi  sebelum ini mendakwa Azmin mengadakan pertemuan itu bagi mendapatkan sokongan daripada sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen BN.

Dilaporkan beberapa kenderaan dipercayai milik wakil rakyat  berada di pekarangan rumah Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, termasuk kenderaan yang mempunyai jata Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri.

Wakil rakyat terbabit dipercayai berada di situ sejak jam 7 malam, sebelum beransur-ansur meninggalkan kediaman Azmin mulai jam 11 malam dengan diakhiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin.

Persepsi umum ketika ini ialah PKR terpecah antara kem Azmin dengan kem Anwar.

Pergeseran  itu semakin memuncak dengan isu terbaharu berkaitan pembatalan jemputan untuk timbalan presiden PKR itu merasmikan kongres Pemuda PKR (AMK).