KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneruskan penyediaan modal teroka sebanyak RM4 juta kepada golongan belia tahun hadapan bagi membantu mereka yang berbakat dan mahir menyertai kursus untuk  mempertajam bakat dan meningkatkan kemahiran mereka.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, modal teroka berkenaan bukan pinjaman perniagaan atau biasiswa.

“Dana ini bukan pinjaman perniagaan atau biasiswa tetapi bagi membantu belia tempatan berbakat atau berkemahiran, menyertai kursus mengasah bakat atau meningkatkan lagi kemahiran mereka,” katanya  pada program TEDx Kenyalang 2019, di sini, Ahad.

Foto SV/Nadim Bokhari

Beliau merujuk kepada beliau yang berbakat sama ada  bermain alat muzik, kemahiran mencipta barangan atau bakat-bakat lain.

Jelas Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan, ramai belia tempatan yang berbakat dan berkemahiran, tetapi tidak mempunyai sumber kewangan  bagi menyertai kursus, akhirnya menyebabkan mereka tidak berpeluang mengasah kemahiran dan bakat mereka ke tahap lebih tinggi.

Pada tahun lepas jumlah yang diperuntukkan Kerajaan Sarawak ialah RM5 juta, jadi bermakna keseluruhan peruntukan termasuk tahun depan ialah RM9 juta.

 Jelas beliau, satu jawatankuasa di kementeriannya akan meneliti permohonan daripada belia tempatan, sebelum diluluskan peruntukan yang berjumlah  antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi setiap permohonan.