KUCHING: Rizab tunai Sarawak masih utuh sebanyak RM32 bilion, sekali gus menepis tanggapan Kerajaan Negeri ini menggunakannya secara boros, hingga mendedahkan kepada risiko bankrap.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendedahkan, semua projek pembangunan yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri dalam belanjawannya menggunakan model kewangan alternatif menerusi Bank Pembangunan Sarawak (DBoS).

“Kita hanya memberikan deposit kepada DBoS untuk memulakan operasinya dan menerusi dana itu, ia membiayai projekprojek strategik negeri ini, seperti jalan raya, jambatan dan sebagainya.

Atas prinsip pinjaman perbankan, semua projek ini mempunyai tarikh matang dan dibayar secara ansur-ansur, dan Kerajaan Negeri selaku pemiutang akan membayar secara tahunan menerusi bajet negeri.

“Kebanyakan projek berlangsung selama 48 bulan dan jika pinjaman berjumlah RM13 bilion, ia akan dibayar sebanyak RM3.5 bilion setahun.

“Jumlah itu tidak besar dan kita juga ada hasil. Empat tahun, hutang beres dan orang (rakyat) dapat jalan raya,” katanya lagi.

Tambahnya, perkara ini dapat dilakukan dengan pemahaman tentang teori perbankan dan bukannya kerana silap mata seperti David Copperfield.

“Bank juga akan mengenakan kadar faedah namun semua projek ini sifar risiko kerana ia dimiliki oleh Kerajaan Sarawak,” tegasnya lagi.

Sebelum ini katanya, kebanyakan rizab tunai Sarawak disimpan di bank komersial seperti CIMB, RHB dan Malayan Banking.

“Namun apabila syarikat berkaitan kerajaan kita hendak membuat pinjaman, mereka menolak permohonan mereka.

“Mereka gunakan duit kita untuk modal pinjaman dan mereka kenakan faedah. Nak ‘paloi ya’,” katanya lagi.

Prinsip kewangan yang sama digunakan oleh Jepun ketika bangkit daripada kemusnahan pasca Perang Dunia Kedua menerusi Bank Pembangunan Asian dan Bank Dunia.