KUCHING: Kekalahan calon PH dalam PRK Parlimen Tanjung Piai merupakan satu isyarat dan mesej daripada rakyat kepada kerajaan PH, kata Ahli Parlimen DAP Sarawak.

Untuk itu, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, PH harus mengambil kekalahan itu sebagai satu iktibar, dan bukannya putus harapan.

Sebaliknya, kata beliau, ia perlu dijadikan sebagai peluang untuk menambah baik setiap kekurangannya.

“Suara rakyat ialah suara keramat, dan kita hormati mesej yang dihantar rakyat,” jelasnya mengenai kekalahan teruk calon PH.

Dalam PRU Sabtu lalu,  calon BN Wee Jeck Seng  menang dengan majoriti besar, iaitu 15,086 undi daripada 38,815 jumlah pengundi yang turun mengundi.

Peratusan mengundi ialah 74.4 peratus.

Beliau mendapat 25,466 undi manakala calon PH Karmaine Sardini hanya 10,380 undi.

Calon lain yang bertanding iaitu Wendy Subramaniam daripada Gerakan mendapat 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) mendapat 850 undi, dan dua calon Bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing meraih 380 dan 32 undi.

“Walaupun ini satu pengajaran kepada Kerajaan PH, namun dengan kekalahan besar itu, kita tidak harus hilang harapan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada media pada program Derma Darah pemeriksaan kesihatan percuma dan Peka B40 di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.

Beliau berkata, kekalahan dalam PRK itu mungkin kerana kebanyakan pengundi ialah golongan pekebun dan peladang.

Beliau mengakui rakyat terkesan dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

“Ini iktibar Kerajaan PH untuk bekerja keras,” katanya.