PERDANA MENTERI Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PH sudah menjangka bahawa calon PH akan kalah, tetapi beliau menjangka BN hanya menang dengan majoriti tidak lebih daripada 2,000 undi. Namun, keputusan rasmi majoriti kekalahan di Parlimen Tanjung Piai adalah sebanyak 15,086 undi. Tentu beliau seperti juga pemimpin PH yang lain terkejut dengan kekalahan teruk itu.

Petanda awal sudah jelas ketika kempen berlangunsg apabila begitu sedikit yang mendengar ceramah anjuran PH. Ini termasuk ketika tokoh utama PH mengadakan ceramah apabila ia hanya dihadiri tidak lebih daripada 300 orang, berbanding sekitar 10,000 orang menghadiri ceramah anjuran BN.

Mereka mahu mengajar Lim Kit Siang. Ceramahnya di Pontian mendapat sambutan dingin apabila hanya sekitar 300 orang hadir.

Ceramah yang sepatutnya bermula pada 7 malam terpaksa dianjakkan ke pukul 8 malam. Ke mana perginya penyokong DAP? Ya, ke mana hilangnya tepukan yang diberi kepada pemimpin itu sebelum ini? Keadaan berkenaan pasti menyebabkan beliau tersentak.

Kekalahan itu bukan sahaja pil pahit yang perlu ditelan oleh PH. Ia seharusnya membuka mata dan menyedarkan diri mereka bahawa sebagai sebuah kerajaan yang telah diberi amanah oleh rakyat, mereka tidak boleh terlalu angkuh dan sombong. Dapat memperlakukan sesuka hati, termasuk membatalkan projek yang telah diluluskan kerajaan sebelum ini. Mereka tidak boleh lagi buat kenyataan sesuka hati yang menghiriskan perasaan rakyat. Mereka perlu melayan rakyat dengan sentuhan kemanusiaan dan sentuhan kerakyatan.

Kekalahan di Tanjung Piai sebenarnya ialah bikinannya sendiri. PH tidak harus terkejut bahawa sentimen yang menggelegak di Tanjung Piai bukan hanya dialami pengundi dan rakyat di kawasan Parlimen berkenaan. Sebaliknya, ia meluas di seluruh negara. Salah-salah gaya, jika pH tidak berubah, sentimen berkenaan akan terus bergelora dan menjadi satu fenomena sehingga menjadi momentum menjelang PRU-15.

Mengapakah begitu teruk sekali prestasi PH dalam PRK berkenaan? Adakah ini menggambarkan bahawa pengundi dan rakyat sudah begitu muak dan marah dengan PH?

Justeru, mereka mahu mengajar PH supaya sedar diri. Ada yang menggunakan ungkapan padan muka PH kerana kalah di Tanjung Piai. Bagaimana mungkin calon kerajaan yang memerintah dengan segala kemudahan dan kuasa dapat ditunduk dengan begitu teruk?

Yang lebih mengejutkan, bagaimana calon PH hanya menang dengan kurang daripada 30 peratus undi? Tentu ada sesuatu yang tidak kena, sesuatu yang menyebabkan rakyat begitu meradang. Ya, rakyat sebenarnya mahu mengajar dan memberitahu Kerajaan PH bahawa, mereka kecewa dengan segala dasar, rancangan, tingkah laku, kenyataan dan tindakan pemimpinnya. Bahawa mereka amat kecewa dengan prestasinya, terutama para menteri yang bagai kehilangan arah.

PH sudah memerintah selama hampir dua tahun tetapi perangainya masih seperti ketika ia menjadi pembangkang. PH masih lagi menyalahkan kerajaan BN. Mereka masih lagi menyalahkan Datuk Seri Najib Razak. Mereka masih lagi berkata bahawa mereka tidak dapat laksanakan projek kerana beban hutang yang ditinggalkan BN.

Mereka lupa bahawa rakyat bukan bodoh atau jahil. Mereka lupa bahawa rakyat tahu kisah sebenarnya. Tempoh 18 bulan sepatutnya digunakan sebaik mungkin untuk membuktikan bahawa mereka merupakan kerajaan yang lebih berwibawa dan lebih baik. Hakikatnya, seluruh rakyat tahu menteri BN atau menteri PH yang lebih baik prestasinya.

Masa 18 bulan sudah lebih daripada memadai untuk PH membuktikan bahawa ia dapat memerintah dengan lebih baik.

Tetapi realitinya, tidak. Ketika rakyat dan pengundi memilih PH pada PRU-14 lalu, mereka meletakkan harapan tinggi terhadapnya. Apatah lagi, mereka diberi begitu banyak janji. Tetapi semua tahu apa yang sudah jadi dengan segala janji manis yang diberi oleh PH.

PH juga terkenal dengan pusingan U dalam banyak perkara, dan ini yang menyebabkan rakyat gelisah dan keliru. Tidak keterlaluan dikatakan, Kerajaan PH tidak mempunyai dasar baharu. Bagai tiada idea untuk mengubah nasib rakyat. Ia hanya pandai menjenamakan semula dasar BN atau hanya pandai mengubah label umpamanya daripada BRIM kepada BSR dan Permata kepada Genius, serta banyak lagi. Banyak kenyataan dan dasar menteri yang menjadi bahan ketawa rakyat.

Itulah sebabnya, pengundi mahu mengajar PH. Buktinya, kesemua 27 daerah mengundi dimenangi BN. Bagaimana itu dapat berlaku ketika PH menggunakan segala jenteranya, menjanjikan projek pembangunan, bantuan dan sebagainya kepada rakyat?

Apa-apa pun, semuanya itu gagal memujuk dan menunduk hati pengundi pada Sabtu lalu. Azam dan keinginan pengundi begitu membara mahu memberi pengajaran kepada PH bahawa mereka jangan diambil mudah.

Yang jelas, masyarakat Cina juga kecewa dan marah kepada PH. Tindakan kerajaan PH berkaitan isu UEC dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) menyebabkan mereka benar-benar kecewa. Bila lagi UEC hendak diiktiraf? Mengapa PH memperlekeh kaum Cina? Mereka hendak beritahu pemimpin seperti Lim Guan Eng dan ayahnya Lim Kit Siang, bahawa kini masa untuk kerajaan mengotakan janjinya.

Kekalahan PH di Tanjung Piai menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin tertekan. Terdapat desakan untuk Perdana Menteri berundur kerana hakikatnya, kepimpinan beliau kini dipertikaikkan. Terdapat tekanan dalaman dan luaran supaya beliau memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Persoalannya, adakah beliau bersedia untuk berundur?

Hakikatnya, rakyat telah hilang harapan terhadap Pakatan Harapan.