SIBU:  Niatnya begitu murni, tetapi niat murni itu  membawa kepada kisah duka apabila seorang lelaki di sini akhirnya kerugian RM72,700.

Ahli perniagaan lelaki berusia 64 tahun itu  ditipu kenalan lelaki warga Amerika Syarikat melalui Facebook.

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit, mangsa berkenalan dengan seorang lelaki melalui Facebook yang memperkenalkan dirinya sebagai James Hanson pada awal September lepas.

“Mangsa memberi nombor telefon bimbit setelah suspek memujuknya membantu anaknya yang sedang belajar di  sebuah universiti di negara ini,” jelasnya.

Jelasnya lagi, suspek  meminta bantuan mangsa untuk membantu membuat tukaran wang AS$ ke mata wang Malaysia pada 30 Oktober lepas.

Suspek memberitahu akan mengirimkan barang yang mengandungi wang US$110,000 dan meminta mangsa membuat pertukaran kemudian memberikan wang tersebut kepada anaknya.

“Suspek juga memberitahu telah cuba mengirim wang kepada anaknya tetapi tidak dapat kerana terlalu banyak proses,” jelasnya lagi. 

Oleh kerana simpati, katanya, mangsa sudi membantu, dan akhirnya dia terpedaya.

Stanley berkata, mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada seorang wanita pada 31 Oktober memberitahu memberitahu barang kiriman untuknya telah sampai.

Wanita itu meminta pembayaran bagi melepaskan barangan kiriman yang didakwa mengandungi wang.

“Mangsa diminta memasukkan wng ke dua akaun bank melalui enam transaksi,” jelasnya.

“Mangsa kemudian merasa diperdaya apabila suspek memintanya membuat pembayaran untuk kali ketujuh,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.