MIRI: Suspek yang melarikan diri dari tahanan di Depot Tahanan Imigresen Bekenu di Jalan Persisiran Pantai, Miri-Bintulu pada 13 November lalu akhirnya berjaya ditangkap, petang semalam.

Suspek, Hossian, 39, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh dijumpai di kawasan berhampiran depot oleh pihak imigresen.

Ekoran penangkapan itu, suspek telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, pihak polis menerima laporan berhubung kes tahanan melarikan diri selepas pihak imigresen menyedari insiden berkenaan semasa pengagihan makanan pada jam 7.50 pagi.

Suspek sebelum ini ditempatkan di depot terbabit untuk tujuan perintah pengusiran selepas ditahan pada 6 September lalu di Bintulu atas kesalahan di bawah seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1963 kerana tinggal lebih masa di Malaysia.