KUCHING: Sarawak mengeluarkan perbelanjaan modal besar untuk mempertingkatkan infrastruktur digital di negeri ini.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kemajuan dalam teknologi digital menjadikan penjagaan kesihatan semakin mudah kerana ia boleh diakses oleh semua individu.

“Sambungan internet di Sarawak mesti mempunyai keupayaan masa nyata agar industri kesihatan mudah alih atau industri mudah alih lain boleh berfungsi.

“Dengan menggunakan inovasi terkini seperti aplikasi penjagaan kesihatan, pesakit boleh memainkan peranan yang lebih aktif dalam menguruskan kesihatan, menghantar maklumat secara tepat untuk mengemas kini dan menerima nasihat profesional secara langsung tanpa perlu pergi ke klinik,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Kesihatan Mudah Alih Digital ASEAN 2019, di sini, hari ini seperti dipetik Bernama.

Sidang kemuncak itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan perkembangan terbaharu dalam industri penjagaan kesihatan digital dan mudah alih dengan penyertaan pakar domain daripada rantau ASEAN.

Ia juga bagi mewujudkan kerjasama ke arah panduan teleperubatan ASEAN dan untuk membina ekosistem merentas sempadan yang memupuk peluang perniagaan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan digital serta pelancongan perubatan dalam kalangan negara anggota ASEAN.