PONTIAN: Gelombang Muafakat Nasional terbukti amat positif diterima oleh rakyat Malaysia yang majmuk atas hasrat inginkan hidup penuh harmoni dan aman damai. 

Menurut Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairil Nizam Khirudin,  kemenangan BN dalam Pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai sekali gus bererti rakyat juga menolak politik ekstrem yang membangkitkan sumbu kebencian dan  api sentimen perkauman dibawa PH.

Baik pada parti yang bertanding, mahupun penduduk tempatan, PRK  Tanjung Piai telah memberi pengajaran berguna betapa terhadap isi hati kaum Melayu, Cina dan India mahu hidup bersama dan bukannya berpecah. Ianya amaran paling tegas buat PH yang tentunya bakal menempuh ambang bahaya PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan.

Rakyat juga sedang memberi satu mesej jelas menolak pendekatan politik fitnah, haru-biru, menipu dan memungkiri janji, serta politik dendam lagi tidak matang tajaan PH. Pun begitu, ia bukan keselesaan buat BN dan GS (Gagasan Sejahtera) yang perlu terus meyakinkan rakyat dengan formula telah digagaskan,’ katanya lagi.

Jelas beliau, kerjasama dan setia kawan serta memastikan berlakunya satu lawan satu pada PRU-15 nanti adalah strategi termudah untuk menempa kejayaan, seterusnya memastikan pembinaan kembali Malaysia yang lebih sejahtera kelak. 

“Martabat rakyat mesti diletakkan sewajarnya dengan kepentingan negara dijamin sebaiknya,’ tegasnya.

Kemenangan diraih ini perlu dijadikan sebagai titik untuk kita melangkah lebih gagah dan terancang tanpa membawa sikap-sikap yang boleh menghilangkan kepercayaan rakyat. Kami berbangga membuktikan kepada PH betapa PAS tidak menggadai prinsip sebagaimana dituduh, tetapi memimpin setiakawan,’ kata beliau.

Beliau mengucapkan tahniah  kepada MCA-BN dan juga calon Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng serta seluruh petugas Muafakat Nasional atas penyatuan yang telah dizahirkan hingga rempuhan besar PH berjaya dihadapi. 

“Kami menyeru semua pihak untuk berubah dan akur untuk berpolitik dalam ruang lingkup matang dan sejahtera sebagaimana pengajaran diberikan pengundi Tanjung Piai,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai, dengan majoriti 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi, manakala pesaing terdekatnya daripada PH, Karmaine Sardini, mendapat 10,380 undi.

Empat calon lain yang bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai ialah calon Gerakan, Wendy Subramaniam yang memperoleh 1,707 undi, Presiden Berjasa, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz  mendapat 850 undi dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock sebanyak 380 undi serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar hanya 32 undi. Tiga calon berkenaan hilang wang pertaruhan mereka.