KUCHING: Persatuan Melanau Kuching akan mengadakan Program Hari Keluarga 2019 pada 29 sehingga 30 November 2019 bertempat di Wisma Melanau Kuching.

Antara pengisian program adalah Pertandingan Karaoke Dewasa serta Kanak-Kanak, Pertandingan Pakaian Lucu dan bermukun akan diadakan pada malam 29 November manakala pada 30 November adalah majlis perasmian, jualan makanan tradisional dan moden Melanau, sukaneka serta cabutan tiket bertuah.

Pertandingan karaoke dan pakaian lucu adalah terbuka dan sesiapa yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan daripada cik Eliza di Wisma Melanau Kuching sebelum tarikh tutup pada petang 29 November 2019.

Manakala bagi tempahan gerai jualan ia adalah tertutup dan borang boleh didapati di Wisma Melanau. Bayaran untuk satu kanopi adalah RM50. Oleh kerana jumlah kanopi disediakan agak terhad maka kaedah ‘siapa dulu dia dapat’ digunakan.

Menurut pengerusi pengelola, Robin Junang, objektif program ini adalah untuk merapatkan silatulrahim dalam kalangan ahli-ahli serta anggota keluarga Persatuan Melanau Kuching dan juga bukan ahli di samping mengukuhkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan ahli .

Ia juga bertujuan untuk menyemarakan lagi persatuan melalui aktiviti sosial, sukan serta riadah dan menjalin semangat muhibbah dalam kalangan warga Melanau dari berbagai daerah yang berlainan dialek menetap di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

Semua warga Melanau sama ada dari Bahagian Kuching, Samarahan, Serian dan jauh adalah dialu-alukan datang bagi menyemarakan program ini nanti.

Cabutan tiket bertuah turut diadakan untuk memeriahkan lagi program tersebut di samping penjualan makanan tradisional Melanau seperti ‘linut, tebaloi, ‘pipus’, umai dan sebagainya.

Program akan dirasmikan oleh YB Yussibnosh Balo, ADUN N57 Tellian merangkap Presiden Persatuan Melanau Kuching.

Untuk pertanyaan lanjut, boleh berhubung dengan Robin Junang di talian 013-5761055 atau Eliza Diana Mas di talian 082-231190 (p) atau 013-8481790 (hp)