KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kemenangan calon BN Wee Jeck Seng dengan majoriti besar di Tanjung Piai sebagai kejayaan pembangkang melalui kerjasama Muafakat Nasional.

“Kemenangan ini menunjukkan penerimaan rakyat bermasyarakat majmuk terhadap agenda penyatuan ummah, seterusnya mengorak langkah bagi mengukuhkan kerjasama dan integrasi yang lebih erat di peringkat nasional,” katanya dalam suatu kenyataan.

Abdul Hadi merakamkan penghargaan kepada para ahli dan petugas PAS yang membantu dalam kempen PRK ini dengan penuh kepatuhan.

“PAS mengucapkan tahniah atas kemenangan calon BN yang mewakili suara pembangkang di PRK Tanjung Piai, dan menyifatkan keputusan ini sebagai kejayaan bersama Muafakat Nasional,” katanya.

Jeck Seng menang dengan majoriti besar, iaitu 15,086 undi daripada 38,815 jumlah pengundi yang turun mengundi.

Peratusan mengundi ialah 74.4 peratus.

Beliau mendapat 25,466 undi manakala calon PH Karmaine Sardini hanya 10,380 undi.
Calon lain yang bertanding iaitu Wendy Subramaniam daripada Gerakan mendapat 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) mendapat 850 undi, dan dua calon Bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing meraih 380 dan 32 undi.

Tanda awal kekalahan PH ketara apabila tidak ramai yang menghadiri ceramahnya berbanding dengan yang menghadiri ceramah BN pada tempoh kempen berlangsung.