KUCHING: Kerajaan Sarawak  tidak mengamalkan dasar berbohong seperti ‘Enti enda bulak, enda menang’ sebaliknya ikhlas dan sentiasa menunaikan setiap janjinya untuk membawa kemajuan dan pembangunan termasuk pembangunan prasarana dan kemudahan asas di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kita berjuang bukannya ‘enti enda bulak, enda menang. Kita berjuang bukan atass dasar itu., kita berjuang atas dasar fakta,” kata beliau yang juga Pengerusi GPS dalam ucapan pada Konvokesyen GPS 2019 di BCCK di sini, semalam.

“Dan semangat kita, keyakinan kita, keikhlasan kita untuk mengangkatkan martabat rakyat Sarawak di Bumi Kenyalang yang bertuah,” tegasnya di hadapan lebih 5,000 perwakilan GPS yang menghadiri konvensyen julung sejak gabungan itu ditubuhkan pada 12 Jun 2018. 

“Ada orang kata kita tidak bina lapangan terbang di Betong, mereka fikir kita berbohong tetapi ia memerlukan perancangan dan sudah dimasukkan di bawah RMK-12 untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau menjelaskan Kerajaan Sarawak tetap akan membina lapangan terbang di Spaoh dan Sungai Tunoh, Kapit.

Katanya lagi, Kerajaan GPS akan meneruskan agenda pembangunan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar di negeri ini.

“Ini dia GPS. GPS ialah gabungan parti orang Sarawak yang akan membangunkan Sarawak. GPS tidak akan undur. Kita akan terus melangkah demi anak Sarawak. Kita tidak akan kalah. Anda lada langkah pertama. Kami pun ada langkah pertama, nangar rupa antara kita,” katanya bersemangat sambil mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan di dalam dewan BCCK.