KUCHING: Ketua Menteri menzahirkan kebimbangnya bahawa keamanan dan perpaduan di negeri ini akan terjejas jika MPKKP dilaksanakan penubuhannya mulai Januari depan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah PH.

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, penubuhan MPKKP jelas bertujuan untuk menghuru-harakan rakyat Sarawak khususnya di luar bandar dan pedalaman demi agenda dan kepentingan politik PH.

“Hidup kita baik, aman, tenteram, tidak ada masalah agama dan kaum tetapi mereka cuba mengganggu kita dengan menubuhkan MPKKKP,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penutupan Konvensyen GPS 2019 di BCKK di sini, semalam.

Konvensyen itu dihadiri lebih daripada 5,000 perwakilan GPS dari seluruh Sarawak yang terdiri daripada parti komponen — PBB, PRS, SUPP dan PDP.

Jelasnya lagi, penubuhan MPKKP juga memperlihatkan Kerajaan Persekutuan tidak menghormati undang-undang Sarawak.

Penubuhannya ditentang oleh pelbagai pihak, termasuk ketua kaum daripada pelbagai kaum di Sarawak kerana mereka percaya ia akan menggugat keharmonian di akar umbi. 

MPKKP akan tetap diteruskan bermula 1 Januari tahun depan di lima negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Sarawak.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah yang dipetik media, MPKKP itu akan wujud selari dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang sedia ada di negeri-negeri berkenaan.

Jelasnya, keputusan itu dibuat kerana MPKK dan JKKK di negeri terbabit tidak menyampaikan maklumat tentang dasar dan program kerajaan kepada rakyat.