KUCHING: Pergerakan Wanita PBB sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi PRN Ke-12 kerana sedar ia sangat penting untuk mempertahankan Sarawak daripada jatuh ke tangan pihak luar khususnya PH.

Ketua Pergerakan Wanita PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, “kita sedia maklum bahawa senario politik kini berbeza apabila Kerajaan Persekutuan diterajui PH.”

“Tidak kira mereka bersamasama kita atau tidak, sudah tentu PRN Ke-12 akan lebih mencabar. Ini bermakna, banyak agensi seperti RTM, Jabatan Penerangan Malaysia, Cawangan Khas, Kemas, polis dan sebagainya yang dahulu bersama-sama dengan kita, kini tiada lagi,” katanya kepada Suara Sarawak.

Bagaimanapun tegas Fatimah, kekuatan GPS mempertahankan negeri ini daripada ditakluk parti Semenanjung yang sekarang giat menyerang Sarawak dan hanya mahu meraut kekayaan Bumi Kenyalang.

“Pergerakan Wanita PBB membentuk lima pasukan khas untuk pendaftaran pengundi, skuad kasih sayang, digital, jerayawara serta memperkasa belia dan keahlian. “Pendaftaran pengundi fokus kita untuk menambah ahli di 82 Dun seluruh Sarawak tanpa mengira PBB atau bukan,” jelasnya.

Tambah Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, pihaknya sentiasa mengemas kini data keahlian di cawangan dan ranting bagi memastikan mereka sebagai pengundi.

“Skuad sayang pula digerakkan di cawangan untuk membuat kerja amal seperti menolong rakyat di kawasan yang ditimpa musibah seperti kebakaran, banjir atau kesusahan seperti kemalangan, kematian, sakit dan sebagainya.

“Pasukan khas digital pula membantu dalam sebarang penerangan dan penyebaran maklumat supaya dapat menangkis persepsi negatif, fitnah dan pembohongan yang terlalu luas disebarkan oleh pihak parti lawan,” ujarnya.

Katanya lagi, pasukan khas jerayawara adalah untuk memberi penerangan tentang perjuangan GPS terutamanya kepada akar umbi dan semua rakyat yang turut mempertahankan Sarawak daripada serangan parti dari Semenanjung.

“Topik yang perlu diperjelaskan adalah seperti MA63, Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58), tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan penerangan berkenaan logo GPS serta perjuangan parti.

“Pasukan khas memperkasakan belia dilihat amat penting memandangkan ada kemungkinan umur untuk layak mengundi akan diturunkan kepada 18 tahun sebelum PRN Ke-12.  “Malah kini, umur 18 tahun boleh menjadi calon tetapi tidak boleh mengundi,” jelasnya.

Beliau yakin dengan penubuhan pasukan khas terbabit, anakanak Sarawak bersedia mempertahan negeri ini daripada serangan PH pada PRN yang akan datang. Bagi Ketua Wanita SUPP Kho Teck Wan, pihaknya memberi tumpuan kepada publisiti dalam media sosial dengan tujuan menyampaikan mesej Kerajaan GPS kepada pengundi bandar dan pesisir bandar.

“Dari segi kesiapsiagaan meng hadapi PRN, SUPP bersama-sama dengan komponen parti GPS yang lain menganjurkan seminar. “Topik yang diketengahkan adalah berkaitan penduduk bandar dan pesisir bandar,” ulasnya. Beliau turut memberitahu, SUPP bersedia menangkis sebarang berita palsu, janji manis dan tuduhan daripada PH.