KUCHING: Bagi menangani dan menyelesaikan masalah kesesakan teruk dari Samarahan ke Kuching, Kerajaan Sarawak akan membina jambatan yang sekali gus disambut positif penduduk dan pengguna jalan raya terbabit.

Menurut Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi, jambatan berkenaan akan dibina di Demak bagi meleraikan trafik dari Samarahan.

Ketika ini, untuk rekod, perjalanan dari Samarahan ke Petra Jaya kadangkala mengambil masa dua jam sedangkan dalam keadaan biasa hanya mengambil masa sekitar 35 minit.

Selain itu, kata Julaihi, Kerajaan Sarawak akan membina jalan raya baharu sebagai laluan alternatif bagi demi kemudahan dan keselesaan pengguna jalan raya dari kedua-dua arah berkenaan.

“Ini ekoran masalah kesesakan lalu lintas yang teruk berlaku pada setiap hari di jalan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perkongsian tentang program pembangunan dilaksanakan Kerajaan GPS pada Konvensyen GPS 2019 di BCCK di sini semalam.

Konvensyen pertama seumpamanya sejak gabungan itu ditubuhkan pada Jun 2018 itu dihadiri lebih 5,000 perwakilan dari seluruh Sarawak.

“Bagaimanapun, untuk ketika ini, pembinaan jalan baharu Kuching-Samarahan masih pada peringkat reka bentuk,” jelasnya sambil mendapat respons positif daripada perwakilan.

Jelas beliau lagi, pembinaan jambatan dan jalan baharu itu nanti, akan memudahkan penduduk yang ulang-alik dari Kuching-Samarahan dan sebaliknya.

Beliau mengakui Samarahan kini menjadi tumpuan penduduk untuk membeli rumah dan tinggal.

“Ramai rakan kita yang bertugas atau diam di Samarahan dan Kuching. Jalan raya dan jambatan ini tentu menggembirakan mereka,” katanya.

Dalam ucapan perasmiannya pada sebelah pagi, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga menegaskan semula bahawa kerajaan akan membina ART dari Kuching ke Samarahan.

“Jadi kita  hendak bina ART dari Samarahan ke Kuching. Kereta api kita akan berjalan sendiri, orang tua kata ada hantu di dalamnya. Ini akan guna teknologi baharu. Jadi inilah dasar-dasar GPS, “ katanya sambil menambah bahawa ART juga digunakan di negara seperti Jepun dan China.