DARO: Penduduk kampung yang berjaya menerima TOL Lot Tanah Kediaman ini disaran untuk segera membina rumah secara berperingkat-peringkat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad, sememangnya kita tidak mampu membina dan menyiapkan rumah dalam masa singkat, tetapi kita bina rumah secara berperingkat-peringkat yang akhirnya akan siap juga.

“Kepada mereka yang telah menerima lot ini supaya berusaha membina rumah.

“Sememangnya rumah ini memang kita tidak mampu siapkan sekali. Mana yang ada itu, usahakanlah secara berperingkat-peringkat,” katanya.

“Mudah-mudahan usaha kita barang-barang dah mula tiang dah berdiri, kita bekerja keras sikit untuk kita membina rumah ini terus berkobar-kobar dan Insya-Allah kita banyak lihat bahawa ramai yang dulu yang buatnya akhinya siap juga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Tol Lot Kediaman SPK Kampung Penasu dan Majlis Perasmian Jalan Premix dan Padang Futsal Kampung Penasu serta Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid 2019 SK Penasu di Dewan Kampung Penasu.

Sebanyak 21 orang menerima TOL Lot Tanah Kediaman bagi Fasa Kedua ini bagi membantu orang kampung mendapatkan tanah sendiri dan membina rumah.

Di Daro ada lebih 1,600 lebih lot baru dan ianya dibuka kepada penduduk Daro menerusi permohonan dengan syarat membina rumah.

Sementara itu, salah seorang penduduk Kampung Penasu Jemali Isa mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan wakil rakyat atas usaha mendapatkan TOL Lot Tanah Kediaman bagi kemudahan penduduk kampung.

Pada majlis itu juga Safiee turut merasmikan Jalan Premix yang merupakan salah satu Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro yang bernilai RM200 ribu yang merupakan yang pertama di Kampung Penasu ini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan kepada pembinaan Padang Futsal bagi menambah kemudahan yang sedia ada selepas siapnya Padang Futsal ini yang juga merupakan Projek RTP ADUN Daro yang berjumlah RM110 ribu dan.

“Insha Allah, kita akan membina pagar di sekitar padang futsal dengan memperuntukkan RM50 ribu untuk naik taraf gelanggang futsal yang ada sekarang supaya lebih selesa untuk orang kampung main.

“Begitu juga dewan di mana tahun depan saya peruntukkan RM80 ribu untuk naik taraf dewan baru kita supaya dibina tandas termasuk pentas yang boleh buka atau pasang apabila diperlukan dan perkara-perkara lain yang akan dilaksanakan pada tahun depan,” ujarnya.

Di majlis itu juga, Shafiee turut menyampaikan hadiah kepada murid-murid dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid 2019 SK Penasu yang mencapai kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum sepanjang tahun 2019.