BN memperoleh kemenangan besar apabila memperoleh majoriti besar 15,086 undi. Wee Jeck Seng dari MCA Barisan Nasional mendapat 25,466 undi manakala calon Bersatu PH, Karmaine Sardini yang sekadar meraih 10,380 undi Lebih 50% undi PH hilang berbanding undi yang diperolehi dalam PRU14, iaitu kekurangan 10,000 undi.

Kesemua calon lawan lain hilang wang deposit apabila calon Gerakan, Wendy Subramaniam mendapat 1,707 undi, manakala Badhrulhisham Abdul Aziz dari Parti Barisan Jemaah Islamiah mendapat 850 undi. Dua calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 380 undi serta 32 undi. Peratusan keluar mengundi bagi PRK Tanjung Piai ialah 74.5%.

Dari segi lonjakan undi BN majoriti sebanyak 28.7 kali telah bertambah.Sebelum ini Wee Jeck pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai dari 2008 hingga 2018, sebelum tewas kepada Dr Md Farid Md Rafik daripada PH dengan majoriti 524 undi pada PRU14 tahun lalu. Sudah pasti terdapat banyak faktor mencetus situasi ini. Ternyata isu utama BN menang disebabkan ketidakpuasan hati terhadap janji pilihan raya tidak ditunaikan dan asyik menyalahkan kerajaan lama. Jadi rakyat berasa bosan, kecewa dan marah.

Bagi pengundi majoriti Melayu di Tanjung Piai mereka melihat ekonomi rakyat masih tak dapat ditangani dengan baik. Kehidupan mereka tidak berubah khususnya dari pendapatan walaupun kerajaan sudah berubah. Kehidupan mereka sebagai pekebun getah, penerokai kelapa sawit, nelayan tidak berubah. Malah terminal jeti di Kukup yang ditutup, dijanjikan akan dibuka pada masa kempen berlangsung, tidak berjaya dibuka semula. Sebelum ditutup, terminal jeti di Kukup berjaya memberikan impak pekerjaaan dan sosio ekonomi masyarakat setempat.

Pada masa yang sama pengundi Melayu dilihat masih mahukan memberikan peluang kepada BN kerana telah lama berjasa kepada mereka. Dahulu mereka marah isu Najib, IMDB, GST kini isu tersebut sedang dibicarakan di mahkamah dan kurang diperkatakan. Mereka melihat melihat Bersatu tak dapat mengambilalih peranan Umno selama ini di Tanjung Piai.

Undi Cina

Bagi pengundi cina mereka rasa kecewa kerana berikan sokongan banyak kepada PH akan tetapi banyak isu yang mereka hadapi kurang ditangani dengan baik. Isu ekonomi tak seberapa jejaskan perniagaan orang cina. Isu pendidikan cina UEC, UTAR bimbangkan orang cina. Ini belum termasuk lagi isu komik dan LTTE yang menyebabkan persepsi mereka terhadap Bersatu ialah cuba menguasai PH walaupun parti minoriti.

Kontroversi isu Menteri Besar Perak ketika kempen di Perak yang mengakui keseorangan berdepan dengan Dap di Perak menambahkan ketidakpuasan hati penyokong Dap di Tanjung Piai, lalu protes melalui peti undi dan kembali menyokong MCA. Lagi pun pengundi Cina bijak dalam menambahkan wakil Cina di Dewan Rakyat yang akan bersuara bukan sahaja untuk BN akan tetapi mewakili suara masyarakat Cina keseluruhannya. Ini yang pernah berlaku dalam PRK Teluk Intan pada tahun Mei 2014, iaitu pengundi Cina lazimnya akan mengundi calon Cina apabila berdepan dengan calon Melayu.

Undi Melayu

Pengundi Melayu di Tanjung Piai pula berpersepsi bahawa bahawa DAP cuba menguasai PH dan PH dilihat mengabaikan kepentingan orang Melayu. Muafakat nasional kejayaan besar kerana gabungan undi Pas dan Umno memberikan jumlah undi Melayu yang lebih tinggi. Ternyata formula letakkan MCA ini berjaya di samping calon yang sesuai dan layak.

Ternyata politik Malaysia kini lebih dinamik, dan peranan bangkitnya kerjasama Melayu melalui Pas dan Umno berjaya. Ini membuktikan kerjasama Muafakat Nasional tidak meminggirkan orang Cina dalam politik dan pasti ini akan lebih membimbangkan PH.

Kesediaan orang cina akan mengundi orang Cina kerana mereka mahukan semak dan imbang di parlimen. Mereka juga tahu bahawa kemenangan PRK tidak akan dapat mengubah kedudukan kerajaan negeri di Johor dan Putrajaya. Ini mini referendum orang cina terhadap PH dalam banyak isu yang mereka tak puas hati.Apapun ini bersifat sementara. Dinamika ini boleh berubah ikut masa dan situasi yang berlaku.

Peralihan Nasional?

BN boleh menang besar lagi jika tokoh kontroversi seperti Najib Razak kurang berkempen atau tidak turun berkempen di Tanjung Piai. Kesan di peringkat nasional ialah parti Bersatu dianggap semakin tidak popular, penerimaan terhadap kepimpinan Mahathir semakin merosot dan akan terdapat tuntutan lebih kuat agar Mahathir lebih cepat serah kuasa kepada Anwar.

Sukar hendak dikatakan peralihan rakyat kepada pembangkang kerana ia sekadar PRK dan hanya relevan kepada kawasan setempat dan tidak sepenuhnya di seluruh negara. Namun ini bentuk amaran awal dan red alert kepada PH dan Mahathir agar lebih berprestasi tinggi.

Sudah tiba masa Tun M untuk mengumumkan peralihan kuasa secara spesifik agar rakyat lebih bersedia. Melengah-lengahkan pengumuman tarikh peralihan kuasa akan menyebabkan keraguan rakyat meskipun dalam kalangan penyokong PH sendiri. Seolah-olah Tun Mahathir tidak mahu serah kuasa kepada DSAI dan ini menyebabkan penyokong akar umbi PKR dan DAP misalnya turut membuat protes dalam bentuk undi dalam PRK Tanjung Piai.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.