KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) sedang menjalinkan kerjasama dengan syarikat luar negara dalam pembangunan hidroelektrik rentas sempadan di Kalimatan, Indonesia.

Menteri Utiliti, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, setakat ini SEB mengeksport tenaga elektrik kira-kira 200 megawatt (MW) ke Kalimantan Barat, Indonesia.

Menurutnya, usaha itu susulan pemindahan ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Kalimatan Timur sekali gus turut memberi limpahan ekonomi kepada Sarawak, Sabah dan Brunei Darussalam.

“SEB sedang menjalin usaha sama dengan syarikat Indonesia bagi membangunkan sumber tenaga hidroelektrik.

“Kita yakin, industri sumber tenaga berasaskan hidroelektrik merupakan pemacu ekonomi negeri pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2020 di sini semalam.

Bliau memberitahu, buat masa ini belum ada keperluan bagi Kerajaan Sarawak membangunkan empangan hidroelektrik yang baharu kerana sumber tenaga yang dijana masih mampu membekalkan lebihan tenaga.

Beliau memberitahu, IEW 2020 akan mempromosikan kemapanan pembangunan sektor tenaga di Sarawak kepada para pelabur dari luar negara.

“Bertemakan ‘Energy Growth For Economic Transformation In Digitalization Age’, persidangan itu akan disertai kira-kira 250 delegasi dari luar negara dan 150 pempamer,” katanya.