KUALA LUMPUR:  Syarikat peleburan aluminium terbesar di Asia Tenggara, Press Metal Aluminum Holdings Bhd, memperoleh bekalan aluminium jangka panjang dengan menguasai 25 peratus kepentingan ekuiti dalam PT Bintan Alumina Indonesia (PT BAI) membabitkan US$80.23 juta (RM331.36 juta).

PT BAI, yang belum memulakan pengeluaran komersil, sedang membina kilang penapisan aluminium dengan kapasiti 1.0 juta tan setahun di Galang Batang, Indonesia, dengan pengembangan 1.0 juta tan lagi dalam perancangan.

Dalam  satu kenyataan seperti dipetik Bernama, Press Metal berkata perjanjian langganan saham yang ditandatangani hari ini akan menyediakan syarikat itu dengan bekalan aluminium melalui pembelian tidak kurang daripada 50 peratus aluminium yang dihasilkan sebelum projek itu selesai dan sehingga 1.5 juta tan apabila projek siap.

“Oleh itu, pergantungan kepada pembekal pihak ketiga untuk keperluan aluminium akan dapat dikurangkan, sekali gus menstabilkan operasi peleburan Press Metal,” menurut syarikat itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Paul Koon berkata ini merupakan peluang terbaik untuk Press Metal melabur untuk sebuah kilang penapis yang membolehkan syarikat itu mendapatkan bekalan aluminium yang merupakan antara bahan mentah utama untuk operasi peleburannya di Sarawak.

“Bersama pemerolehan awal kami Worsley (di Australia), kami akan dapat memenuhi kira-kira 80 peratus daripada keperluan aluminium kami.

Ini akan memperkukuh dan memberikan kelebihan kepada kami selepas ketidaktentuan atau kekangan bekalan yang boleh membawa kepada gangguan operasi kami, diatasi,” kata Koon.

Beliau berkata ini adalah penting kerana syarikat itu sedang mengembangkan operasi peleburan baharunya disasarkan bermula pada akhir tahun depan.

Koon berkata aset itu juga terletak dekat dengan Samalaju, lokasi loji peleburan syarikat itu, berbanding Australia, dan akan membolehkan Press Metal menikmati masa yang lebih singkat selain menjimatkan kos logistik yang besar.