KUCHING: Petronas menafikan bahawa Kerajaan Sarawak sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat minyak itu kerana belum melangsaikan bayaran cukai 5 peratus hasil jualan minyak dan gas di negeri ini.

Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh berkata, Petronas masih lagi meneruskan perundingan dengan Kerajaan Sarawak berkenaan perkara itu.

“Tindakan undang-undang Kerajaan Sarawak terhadap Petronas, tidak ada. Kita sedang berunding. Itu saja,” katanya di satu majlis di sini semalam.

Beliau menjelaskan, rundingan itu juga membabitkan Kerajaan Persekutuan.

Beliau turut enggan mendedahkan butir lanjut tentang perkara itu, termasuk bila mesyuarat dan perundingan akan dilakukan.

Sementara itu, Menteri Utili Datuk Seri Dr Stephen Rundi semalam berkata, Kerajaan Sarawak tidak akan melanjutkan tempoh untuk Petronas membayar cukai berkenaan yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu.

“Kenapa Petronas masih tidak mahu membayar dan tidak mematuhi peraturan undang-undang,” katanya.

Undang-undang berkenaan diluluskan di DUN Sarawak dengan sebulat suara pada November 2018.

Ketika membuat penggulungan ucapan pada persidangan di DUN Rabu lalu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan jika Petronas bertegas tidak mahu membayar cukai berkenaan, Kerajaan Sarawak akan mengheretnya ke mahkamah untuk mendapatkan cukai yang belum dibayar.

Untuk rekod, syarikat minyak lain seperti Murphy Oil dan Shell telah akur dengan membayar cukai berkenaan.