MIRI: Arahan Kementerian Pendidikan tidak membenarkan wakil rakyat GPS melawat atau menghadiri majlis anjuran sekolah di negeri ini adalah tidak masuk akal, tidak baik dan tidak menghormati pemimpin negeri ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, arahan itu tidak wajar memandangkan wakil rakyat GPS banyak memberikan sokongan khususnya dari segi peruntukan untuk membangunkan pendidikan di Sarawak, maka ia tidak harus dipolitikkan.

“Mereka melakukannya di Sarawak, dan bukannya di Malaya atau Sabah,” katanya.

Jelas Kim Shin, Kerajaan Persekutuan harus menghormati Sarawak dan tidak wajar membawa elemen politik ke dalam pendidikan kerana tindakan sedemikian hanya akan menjejaskan masa depan generasi akan datang.

Tegasnya, ini akan mewujudkan suasana tidak sihat kerana ‘GPS juga kerajaan”.

“Di Sarawak, kami GPS banyak membantu sekolah kerana apa yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan tidak cukup,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penghargaan Sekolah Kebangsaan (SK) St Joseph di sebuah hotel di sini, semalam.

“Mengapa kita harus mempolitikkan perkara ini?” ujarnya sambil menambah, jika benar-benar prihatin, perkara berkenaan tidak harus dipolitikkkan.

Ujar Lee, langkah tidak membenarkan wakil rakyat GPS melawat atau menghadiri majlis anjuran sekolah adalah tidak baik.

“Adakah Kementerian Pendidikan benar-benar serius tentang pendidikan berkualiti,” tanya beliau.

Katanya: “Kami ke sekolah untuk membantu membiayai aktiviti sekolah, dan setiap tahun saya telah membantu sekolah kerana kami prihatin terhadap pendidikan kanak-kanak,” tegasnya.