KUALA LUMPUR: Walaupun rakyat di seluruh negara terutamanya di negeri Perak mengetahui keretakan yang berlaku dalam Kerajaan PH Perak, namun PH Perak lebih gemar mengambil langkah selamat dengan menafikannya, kata Ketua penerangan PAS Perak Hafez Sabri.

Namun, menurut beliau di sebalik itu terdedah ‘perlawanan’ terbuka sesama mereka dan terbaharu tuduhan audio tukar baju untuk gulingkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang masih menerajui kerajaan.

“Episod penafian bagaimanapun terbongkarnya usaha yang dilakukan oleh individu tertentu dalam Kerajaan PH Perak untuk ‘membeli’ Adun-adun Pembangkang bagi menggulingkan Ahmad Faizal selaku Menteri Besar. Namun jelas usaha itu tidak berjaya dan gagal,” katanya dalam satu kenyataan.

“Sebelumnya tersebar audio yang jelas perancangannya untuk menjatuhkan Menteri Besar, namun sekali lagi dinafikan oleh Aziz Bari selaku orang yang dikatakan pemilik suara tersebut pada April 2019. Mereka mendakwa sebaran audio tersebut bersifat tidak kukuh dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam era ini,” katanya.

Beliau berkata, meskipun berlaku percakaran yang jelas antara mereka, namun kebanyakannya mengambil jalan selamat demi kepentingan survival masing-masing, sementara kuasa kerajaan negeri masih di tangan.

“Sehinggalah Ahmad Faizal sendiri mengaku terbuka bahawa beliau bersendirian dalam menghadapi ancaman dan tekanan daripada DAP demi mempertahankan maruah Melayu dan Islam,” katanya lagi.

Jelasnya, natijahnya beliau memperoleh gelaran munafik dan tidak layak menjadi Menteri Besar daripada Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador, manakala Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh pula berkata kenyataan itu sangat memalukan dan bercanggah dengan permuafakatan dalam PH.

“PH Perak boleh diumpamakan “tidur sepakatan, tetapi mimpi dan angan-angan berbeza”, mereka tidak mempunyai titik persamaan,” katanya lagi.

Beliau berkata, PH Perak perlu segera dikeluarkan daripada terus memimpin Kerajaan Negeri kerana perlawanan dan pertembungan politik dalam kalangan sendiri telah menunjukkan bahawa mereka tidak pernah serius menyelesaikan masalah rakyat.

“Percakaran yang wujud ini sememangnya memualkan dan membimbangkan rakyat yang melihat suasana Kerajaan Perak sangat tidak stabil pada hari ini. Jawapan paling berkesan adalah kembalikan semula kuasa kepada rakyat untuk rakyat buat pilihan  kerajaan baru demi suasana politik yang lebih stabil akan wujud di Negeri Perak. Pastinya DAP adalah punca kepada segala kacau bilau yang berlaku kepada kerajaan Negeri Perak ketika ini,” katanya.