KUCHING:Tiada masa tambahan diberi kepada Petronas.

Kerajaan Sarawak tidak akan bertolak ansur dengan syarikat minyak itu berkaitan dengan tanggungjawabnya yang perlu dilunaskan berkaitan pembayaran cukai jualan minyak sebanyak 5 peratus.

Untuk itu, menurut Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi berkata, Kerajaan Sarawak tidak berhasrat melanjutkan tarikh akhir baginya membayar cukai berkenaan.

Petronas telah diberi masa hingga 31 Oktober lalu untuk membayar cukai berkenaan ketika syarikat lain seperti Murphy Oil, Shell dan Nippon Oil telah akur dengan membayar cukai berkenaan.

“Tiada lagi tarikh lanjut,” kata Rundi di sini, hari ini.

Menurut beliau, Sarawak mempunyai hak untuk menuntut cukai berkenaan.

Tegasnya, tiada apa-apa yang boleh mengubah undang-undang yang ditetapkan.

“Mengapa Petronas masih tidak mahu membayar dan tidak mematuhi peraturan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak amat memerlukan bayaran cukai berkenaan untuk membangunkan negeri ini.

Dalam ucapan penggulungannya di DUN Rabu lalu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Petronas mesti membayar cukai berkenaan yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Cukai itu telah diluluskan DUN Sarawak November 2018.

Jika tidak, katanya tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya untuk mendapatkan cukai yang tidak dilunaskan.