Thursday, June 30, 2022

RM1.5 bilion diperuntukan untuk Agensi Pembangunan Tanah Tinggi

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan sebanyak RM1.5 bilion untuk projek infrastruktur di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) pada tahun 2019 dan 2020.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, projek tersebut termasuk 19 projek jalan raya dan 22 projek bekalan air dan elektrik yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

“Sehingga Oktober 2019, 12 pakej jalan raya dengan anggaran jumlah RM308 juta telah ditenderkan.”

“Sembilan daripadanya kini di bawah penilaian tender dan kerja-kerja dijangka akan dimulakan pada Disember 2019,” katanya ketika berucap semasa sesi penggulungan untuk kementeriannya di Persidangan Hari Kelapan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-18 di sini semalam.

Manakala bagi projek bekalan air pula dijangka akan dikeluarkan pada Januari 2020.

Tambah beliau lagi, projek infrastruktur dan kemudahan tersebut akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2020.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Pertanian Sarawak telah melaksanakan Projek Kelulut di kawasan HDA pada tahun 2019 yang melibatkan 118 peserta di tujuh buah kampung dengan nilai RM1 juta.

Peserta diberikan bantuan dalam bentuk set lebah, peralatan menuai, dan benih buah belimbing.

Pada tahun 2019 juga, Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah memperuntukkan RM1 juta bagi penanaman kopi yang melibatkan 39 peserta dengan keluasan 39 hektar.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru