Friday, August 12, 2022

Persekutuan digesa kaji semula pengecualian dasar kabotaj

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak memohon kepada kerajaan persekutuan untuk mengkaji semula pengecualian perlaksanaan dasar kabotaj.

Timbalan Ketua Menteri merangkao Menteri Infrastruktur dan Pelabuhan, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata, kajian mendalam mengenai kesan dasar tersebut perlu dilakukan sebelum ia menyebabkan kerosakan kekal terhadap industri perkapalan dan perkhidmatan kargo.

“Berkuatkuasa 1 Jun 2017, Kementerian Pengangkutan mengumumkan pengecualian Dasar Kabotaj untuk perkhidmatan pengangkutan kargo laut, umum dan kontena, untuk sektor-sektor berikut: dari mana-mana pelabuhan di Semenanjung Malaysia ke pelbagai pelabuhan di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dan sebaliknya; antara pelabuhan di Sarawak; dan antara pelabuhan di Sabah,”

“Pengecualian Dasar Kabotaj telah mewujudkan persaingan sengit antara kapal domestik asing dan tempatan. Dari analisis yang dijalankan dari Januari hingga Julai 2019, kapal asing menyumbang kira-kira 12.4%, atau 2,504 TEUs (20 kaki bersamaan Seunit) kargo kontena laut tempatan daripada 20,279 TEU keluar dari Pelabuhan Kuching ke Pelabuhan Klang,” katanya

Menurut beliau lagi, daripada angka yang disebutkan, kira-kira 1,635 TEUs atau 8.1 peratus terus ke Pelabuhan Klang, 302 TEUs atau 1.5 peratus adalah pemindahan ke pelabuhan Malaysia tempatan dan 567 TEUs atau 2.8 peratus, adalah pemindahan ke pelabuhan asing.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa penyertaan asing dalam pengangkutan kargo laut tempatan dijangka meningkat.

“Keadaan ini amat membimbangkan, sekiranya tidak dibendung akan melemahkan industri perkapalan dan pembuatan kapal di Malaysia khususnya di Sarawak,”

“Sarawak terkenal dengan industri pembinaan kapal induk yang dikendalikan oleh sektor swasta. Hakikatnya, sebahagian besar dari kalangan kapal di Malaysia terletak di Sarawak. Kedua-dua aktiviti ini menjana pertumbuhan ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di Sarawak,”

Tambah beliau lagi, belum terbukti penurunan harga barangan di Sabah dan Sarawak hasil pengecualian dasar kabotaj ini.

Beliau juga turut memaklumkan bahwa kementeriaanya telah menulis surat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memaklumkan kebimbangan mereka mengenai isu ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru