Semalam, semasa ucapan penggulungan belanjawan beberapa kementerian bagi belanjawan negeri Sarawak terus diserlahkan keprihatinan kerajaan Sarawak dalam menyantuni rakyat Sarawak. Komitmen tinggi kerajaan negeri Sarawak menunjukkan satu usaha yang harus dihargai oleh rakyat Sarawak.

Pengumuman bonus dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri dalam ucapan penggulungan Ketua Menteri Sarawak harus dijadikan satu pemangkin kepada usaha berterusan para penjawat awam negeri dalam memastikan setiap dasar kerajaan dilaksanakan dengan baik. Ini kerana duit pembayar cukai menyumbang kepada pemberian bonus kepada penjawat awam ini.

Laksanakan segala tanggungjawab yang di amanahkan secara lebih produktif dan berkesan agar ia mencapai objektif yang telah ditetapkan. Kaedah penyampaian yang berkesan harus dititikberatkan oleh para penjawat awam agar setiap dasar itu sampai kepada golongan sasaran.

Komitmen kerajaan Sarawak juga terserlah apabila mengambil tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan yang akan membayar elaun kepada pengerusi JKKK atau Ketua Kampung dan Tuai Rumah setelah kerajaan persekutuan tidak akan membayar elaun sebanyak RM500 kepada pemimpin akar umbi ini pada tahun hadapan. Inisiatif ini dilihat sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan negeri terus memikul tugas untuk membayar elaun sebanyak RM500 bagi mencukupkan amaun RM900 yang sudah biasa di terima oleh pemimpin akar umbi ini tiap-tiap bulan.

Oleh itu, para pemimpin akar umbi ini harus memberi komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin di akar umbi yang menjadi jambatan perhubungan di antara rakyat dan kerajaan. Jalankan tugas dengan penuh amanah dan berkesan agar rakyat dalam lingkungan pentadbiran pemimpin akar umbi ini dapat merasai impak daripada dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Komitmen serta tanggungjawab harus dilaksanakan dengan penuh integriti agar setiap usaha kerajaan untuk menyantuni rakyat terutama di luar bandar sampai kepada golongan sasaran.

Selain itu, bagi memastikan pelaksanaan dasar serta pengagihan belanjawan yang telah diperuntukkan sampai kepada golongan sasaran dan mencapai objektif, prinsip ketelusan serta amalan tadbir urus yang baik harus diutamakan oleh semua aktor serta agensi pelaksana dasar serta belanjawan kerajaan ini. Harapan rakyat harus dijulang agar setiap perancangan dalam dasar atau belanjawan yang dirancang oleh kerajaan dilaksanakan serta sampai kepada golongan sasaran.

Kerajaan Sarawak pimpinan GPS nyata mengetahui keperluan rakyat Sarawak dalam merancang pengagihan belanjawan bagi tahun 2020. Ini menunjukkan harapan rakyat Sarawak terutama di luar bandar di ambil kira dalam belanjawan 2020 Sarawak. Rintihan rakyat di luar bandar yang masih jauh ketinggalan dalam arus pembangunan memerlukan komitmen kerajaan bagi memastikan jurang perbezaan pembangunan di bandar dan luar bandar dapat dirapatkan.

Kini, apa yang perlu dipastikan oleh kerajaan adalah pelaksanaan kepada belanjawan atau dasar yang telah dirancang dapat mencapai objektif serta sampai kepada rakyat. Pihak kerajaan harus memastikan setiap pelaksana dasar atau belanjawan ini dapat melaksanakan tanggungjawab secara berkesan dan efektif.

Taklimat serta pemantauan pihak kerajaan harus dilaksanakan agar setiap perincian serta butiran dalam belanjawan difahami oleh setiap pelaksana. Proses ini penting agar ia dapat menyerlahkan ketelusan serta mencapai objektif. Sesi townhall juga boleh diadakan oleh pihak kerajaan bagi menjelaskan setiap dasar atau pengagihan belanjawan terutama kepada penduduk di luar bandar.

Apa pun, kerajaan Sarawak terus meneruskan komitmen dalam menyantuni rakyat Sarawak melalui belanjawan 2020 yang ternyata banyak membantu rakyat Sarawak terutama rakyat di luar bandar. Kini rakyat hanya menunggu pelaksanaan kepada belanjawan yang memerlukan pihak pelaksana mendukung prinsip ketelusan dan amalan tadbir urus yang baik bagi memastikan rakyat mendapat manfaat daripada peruntukan belanjawan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.