Friday, October 7, 2022

Hak rakyat Sarawak nikmati Projek Rakyat

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperjuangkan hak rakyat negeri ini supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan menerusi pelaksanaan Projek Rakyat Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan Projek Rakyat Sarawak, terutamanya projek pembangunan luar bandar merupakan usaha yang sangat penting dan satu amanah yang perlu ditunaikan Kerajaan Negeri kepada rakyat.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Persekutuan tidak memberi keutamaan kepada projek-projek ini selepas mereka mengambil alih pemerintahan negara. 

“Mereka tidak mengutamakan projek untuk kesejahteraan rakyat. Oleh itu, Kerajaan Sarawak mengambil pendirian yang tegas untuk membiayai sepenuhnya projek-projek tersebut. 

“Contohnya, projek menghubungkan jalan-jalan pesisir pantai kita dengan kos RM5 bilion, projek bekalan air dengan kos RM2.8 billion, projek bekalan elektrik dengan kos RM2.37 billion,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan pada Persidangan DUN Sarawak Ke-18 pada Rabu.

Ketua Menteri menambah, kepentingan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Sarawak menerusi pelaksanaan projek rakyat.

Jelasnya, beliau sangat bersukacita kerana impak pelaksanaan Projek Rakyat Sarawak telah mula dikecapi oleh rakyat negeri ini.

“Beberapa kawasan yang dahulunya menghadapi masalah air yang kritikal kini telah mendapat bekalan air bersih dan terawat.  

“Beberapa kampung dan rumah panjang juga telah menikmati bekalan elektrik, kawasan terpencil juga telah berjaya dihubungkan dengan rangkaian jalan dan jambatan. 

“Inilah cara kita melaksanakan pembangunan mengikut acuan Sarawak, demi rakyat Sarawak,” katanya. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru