NIS: Ketika mengambil keputusan menyelamatkan sekumpulan anak anjing terbiar pada 2008, Sasha Pesic, tidak pernah membayangkan dalam masa sedekad dia menyelamatkan 1,200 anjing lagi dan 750 ekor daripada anjing ini masih berada dalam peliharaannya ketika ini.

Nama Sasha Pesic dikenali dunia pada 2015, apabila video merakam aksinya melompat di bawah jambatan untuk menyelamatkan anak anjing menjadi tular di sosial media sehingga ditonton lebih 63 juta penonton di seluruh dunia.

Sebelum itu tiada sesiapa di luar Nis iaitu tempat kelahirannya tahu siapa dirinya.

Orang juga tidak tahu dia memelihara ratusan anjing yang diselamatkan sejak 2008.

Tugas ini bukan mudah kerana ia memerlukan belanja besar. Makanan anjing ialah sekitar 10,000 euros (AS$11,150) sebulan ditambah dengan penjagaan veterinar, bayaran pekerja dan penyelenggaraan tempat perlindungan anjing-anjingnya.

Rakyat Serbia sendiri bagaimanapun tidak memberi sokongan kepadanya sebaliknya mereka pula yang sering kali meninggalkan anjing di luar kediamannya kerana mereka tahu dia tidak akan sampai hati membiarkan anjing-anjing ini kebuluran.

Mujurlah ada segelintir pihak yang sanggup memberi sumbangan kepadanya, namun semuanya datang dari luar Serbia.

Mereka memberi sumbangan kewangan setiap bulan dan adakala membantu mencari insan yang mahu memelihara anjing ini.

Selamatkan 1,200 anjing terbiar