Dalam tempoh setahun, empat buah akhbar di negara ini terpaksa ditutup.  Setelah wujud 122 tahun akhbar harian berbahasa Inggeris The Malay Mail ditutup pada Disember tahun lepas. Selepas operasi percetakan  ditutup, bagi meneruskan survival kini beroperasi secara talian.

Begitu juga akhbar Tamil Nesan yang selama ini mampu hidup selama 94 tahun terpaksa ditutup pada Februari tahun ini. Punca akhbar terpaksa tutup operasi adalah  kerana tidak mampu menanggung kos operasi semakin meningkat manakala pembaca semakin merosot kerana lebih ramai suka membaca berita dalam talian dan membaca secara percuma. Apabila akhbar kurang dibaca, maka iklan tidak akan memilih akhbar yang kurang pembaca. Kini iklan beralih kepada digital dikuasai Google, Facebook, Youtube yang lebih tahu profil atau bank data pengguna dan mempunyai rangkaian trafik strategik yang mampu mengetahui cita rasa potensi pelanggan dan pembaca. 

Bayangkan hari ini,  caj paparan iklan semurah 2.4 sen per siaran.  Google mampu menawar iklan semurah 20 sen berbanding media masa caj 70 per paparan iklan. Gergasi teknologi kini menelan iklan tempatan dalam kebahagiaan rakyat  dan pemimpin negara yang meraikan teknologi. Ini belum lagi impak revolusi Industri 4.0 sudah pasti akhbar tempatan semakin ditelan oleh iklan gergasi seperti Google.

Akhbar berbahasa Melayu, Utusan Malaysia juga mengambil jalan yang sama setelah beroperasi selama 80 tahun, manakala entiti kembarnya Kosmo mengambil langkah yang sama.  Kesemua yang berhenti kerja terpaksa membuat pelbagai kerja dan ada juga masih mencari kerja bagi meneruskan kehidupan ini. 

Akhbar Dunia

Di United Kingdom, terdapat 245 judul akhbar  termasuk akhbar wilayah terpaksa ditutup di antara tahun 2005 sehingga tahun lepas, Akhbar The Independent pula menutup operasi cetak dan hanya fokus sebagai akhbar talian.  

Di Amerika Syarikat berdasarkan penyelidikan North Carolina, 1,800 akhbar ditutup sejak 2004 hingga 2018.  Antara akhbar terkemuka di Amerika yang terpaksa ditutup ialah Rocky Mountain News, Mineapolis Star Tribune, Philadelphia Newspapers,  Baltimore Examiner, Honolulu Advertiser and Tampa Tribune.

Inilah fenomena dunia. Namun ada juga akhbar dunia bernasib baik. Di India akhbar berbahasa Hindi, iaitu Dainik Bhaskar  mempunyai edaran 4.3 juta  pada tahun lepas. Begitu juga akhbar The Hindu di India  mempunyai edaran 1.3 juta  seharian

Negara Jepun menunjukkan pengekalan industri media massa apabila akhbar  Yomiuri Shimbun mampu menjual 8.1 juta akhbar,  manakala akhbar Asahi Shimbun pula mempunyai pembaca 5.6 juta  sehari. Namun terdapat penurunan sekitar 5 peratus.

Ketika perubahan  media tradisional ke digital cepat berlaku di Malaysia, agak aneh apabila perubahan media tradisional ke digital  di Jepun sangat lambat berlaku. Hal ini kerana terdapat perlindungan oleh dasar kerajaan dan peraturan di negara tersebut.  Akhbar Nikkei, iaitu akhbar ekonomi Jepun pertama melakukan digital media selepas membeli akhbar Financial Times yang mempunyai 650 ribu pelanggan.  

Strategi akhbar Nikkei ialah menerbitkan  akhbar secara digital terlebih dahulu sebelum  dicetak dan dihantar kepada pembaca. Akhbar Nikkei juga memulakan penglibatan berita  secara eklusif melalui twitter sebelum menerbitkan wawancara secara talian dengan bekas pengerusi syarikat Nissan, Carlos Ghosn yang dipenjarakan.

Perubahan Peranan

Sebelum ini akhbar banyak digunakan sebagai alat politik bagi meraih sokongan pembaca.  Akhbar Utusan Malaysia pada mulanya sangat penting dalam memainkan peranan dalam gerakan kemerdekaan negara dan ramai wartawan hebat dilahirkan oleh akhbar tersebut seperti Zaid Zahari, Ishak Haji Muhammad, A. Samad Ismail, Melan Abdullah namun  Utusan juga dikawal oleh politik kepartian bagi menentang musuh-musuh politik kerana majoriti saham majoriti dipegang oleh UMNO. Banyak isu politik khususnya mengenai kepentingan politik UMNO, pilihan raya negeri dan umum menggunakan Utusan Malaysia sebagai wadah bagi kempen, propaganda dan alat bagi membelasah lawan politik mereka.  

Akhbar harian STAR pula ialah milik parti MCA. Dalam konteks ini apabila pilihan raya Tanjung Piai berlangsung, liputan positif  lebih banyak terpapar mengenai calon MCA Wee Jeck Seng. Dalam konteks ini, sejauh manakah pergantungan orang politik terhadap media akan berterusan?  Selagi media atau khususnya akhbar dapat memberikan impak positif kepada calon dan parti seterusnya memberikan kemenangan maka, media pendukung akan terus terpelihara.  

Namun apabila media sudah tidak memberikan kesan atau membawa kemenangan, maka ia tidak akan diperdulikan lagi. Inilah nasib akhbar Utusan Malaysia apabila Barisan Nasional kalah, maka  pihak parti politik melihat tidak lagi melihat kerelevanan akhbar tersebut hingga terkubur. Sebelum itu, akhbar tersebut sudah lama menanggung hutang operasi, namun masih dipertahankan kerana diharap menjadi jentera untuk memenangkan parti.

Ketika ini merupakan zaman mencabar dalam industri akhbar. Sekiranya minat membaca akhbar cetak terus merosot, maka dalam tempoh 15 tahun untuk mencari Tokoh Wartawan Negara mungkin semakin sukar. Siapalah tokoh wartawan negara tanpa akhbar diwakili? Kalau dahulu, tokoh wartawan memainkan peranan penting dan  dianggap gate keeper dalam politik dan maklumat.  Di belakang ketua pengarang ialah  hubungan politik dan media terjalin bersama. Kini kewartawanan rakyat mulai mengambil alih peranan ini dalam bentuk sebaran Whatsapp, Youtube dan Twitter.  

Apapun, politik tidak akan berakhir, berita juga tidak akan mati, sejak zaman batu manusia menyampaikan berita,  berita ada di mana-mana sahaja namun medium penyampaianlah yang akan berubah!