LUZHOU: Gara-gara jualan hebat 11.11 seorang isteri di sini bagai tidak dapat mengawal nafsunya untuk berbelanja besar pada Isnin.

Tanpa memikirkan kesan kewangan terhadap suaminya, Zhan, 29, berbelanja lebih daripada 300,000 yuan (sekitar RM177,000) kerana membeli beg tangan berjenama, minyak wangi mahal, dan banyak lagi melalui talian.

Akibatnya, kerana terlalu tertekan,  suaminya, Wang, 29 dari Luzhou, Sichuan mahu membunuh diri.

Memetik China Press, polis menerima satu laporan mengenai seorang lelaki mahu terjun dari tingkat 33 bangunan jam 10 malam.

Pasukan penyelamat cuba memujuk lelaki itu kerana dia terlalu beremosi sebelum menyelamatkannya daripada terus terjun bangunan.

Lelaki itu dilaporkan tidak mampu bayar hutang selepas isterinya baru sahaja menambah jumlah hutang semasa promosi ‘sale 11.11’. 

Pada tahun lalu, pada 11.11, isterinya dilaporkan berbelanja sekitar RM11,374.